amree11/11/2026 - 14:40 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov — Kerja penurapan semula yang tidak berkualiti oleh kontraktor dan syarikat utiliti dikenal pasti antara punca jalan Persekutuan masih terus mengalami kerosakan secara berulang sehingga memerlukan kerja tampalan berkali-kali.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, faktor-faktor penyebab lain termasuk jalan digunakan kenderaan berat yang melebihi had muatan dibenarkan, keadaan sistem saliran, situasi cuaca semasa serta usia laluan berkenaan.
Beliau seterusnya menambah, susulan keadaan tersebut menyebabkan kerajaan perlu membelanjakan sejumlah RM10.6 bilion bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan jalan Persekutuan yang rosak di seluruh negara sepanjang 2021 hingga 2025.
"Perbelanjaan itu meliputi penyelenggaraan rutin dan berkala permukaan jalan serta kerja berkaitan bagi memastikan laluan kekal selamat digunakan," jelasnya menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Ahli Parlimen tersebut ingin mengetahui mengenai jumlah peruntukan yang dibelanjakan kerajaan untuk membaiki kerosakan berulang jalan Persekutuan dalam tempoh lima tahun lalu serta faktor utama yang menyebabkan keadaan itu masih lagi berlaku.
Menurut Ahmad, kerja penyelenggaraan dan pembaikan dilaksanakan mengikut garis panduan sedia ada, termasuk arahan kejuruteraan jalan, spesifikasi standard jalan serta nota teknikal bagi memastikan mutu penurapan dan memanjangkan jangka hayat jalan.

Kata beliau, kaedah penyelenggaraan ditentukan berdasarkan kepada jenis serta tahap kerosakan, jumlah trafik kenderaan berat, hierarki jalan berkenaan, kadar kemalangan yang dicatatkan dan kitaran hayat laluan tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) sepanjang 122 kilometer dari Gemuruh, Terengganu ke Tunjung, Kelantan masih di peringkat penyediaan dokumen permintaan cadangan (RFP) oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
"Projek berkenaan dicadangkan untuk dilaksanakan menerusi kaedah penswastaan di bawah model kerjasama awam-swasta (PPP), dengan kos pembangunan keseluruhan ditanggung oleh pihak yang berjaya memperoleh projek berkenaan," tambah Ahmad.
Ujarnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah mengemukakan penyata keperluan projek (SON) kepada UKAS bagi membolehkan dokumen RFP disediakan sebelum cadangan berkenaan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan keputusan.
Beliau menjawab soalan Datuk Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai status terkini cadangan pembinaan LPT3 menerusi kaedah penswastaan di bawah model PPP. - DagangNews.com




