amree10/11/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov — Maju Holdings Sdn Bhd memperoleh lanjutan sementara perintah sekatan tindakan undang-undang sehingga 25 Januari 2027, ketika syarikat itu berusaha menyelesaikan cadangan penyusunan hutang dengan pemiutangnya bagi mengelakkan prosiding penggulungan.
Perkembangan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 November 2026 membenarkan permohonan lanjutan sementara bagi melindungi Maju Holdings daripada tindakan pemiutang supaya mahkamah meneliti permohonan lanjutan perintah sekatan untuk tempoh lebih panjang.
Menurut laporan The Edge, sumber yang rapat dengan perkara itu memaklumkan bahawa mesyuarat skim penyusunan hutang berkenaan sudah diluluskan dengan sokongan kira-kira 81% undi.
Perintah sekatan tersebut secara asalnya diberikan kepada Maju Holdings yang juga merupakan pemaju lebuh raya konsesi Maju Expressway (MEX), di bawah Seksyen 368 Akta Syarikat 2016 pada 8 September 2026 dan berakhir pada 6 November 2026.
Seksyen 368 membolehkan mahkamah memberikan moratorium bagi menghalang tindakan undang-undang terhadap sesebuah syarikat, sekali gus memberinya ruang untuk mengemukakan dan memuktamadkan skim penyusunan hutang dengan pemiutang.
"Permohonan berkenaan berpunca daripada saman pemula yang difailkan pada 2 September 2026 oleh VLA Architects Sdn Bhd, yang merupakan pemiutang Maju Holdings," katanya dipetik The Edge pada Selasa.

Draf perintah itu membolehkan VLA Architects mengadakan mesyuarat bersama pemiutang Maju Holdings bagi mempertimbangkan cadangan skim penyusunan hutang, selain menghalang tindakan undang-undang termasuk prosiding penggulungan terhadap syarikat berkenaan.
Lanjutan moratorium terbaharu itu merupakan kali ketiga petisyen penggulungan terhadap Maju Holdings tertangguh susulan permohonan berkaitan penyelamatan korporat sejak petisyen berkenaan difailkan pada 2023.
Prosiding itu turut dipengaruhi beberapa keputusan mahkamah, termasuk perintah pada Jun 2026 yang mensyaratkan kebenaran terlebih dahulu bagi permohonan pengurusan kehakiman serta perintah interim pada Ogos 2026 yang menghalang Maju Holdings daripada membuat permohonan tertentu sehingga mencetuskan moratorium secara automatik.
Petisyen penggulungan asal difailkan oleh pemiutang, Bridgex Sdn Bhd, pada 2023. Perbicaraan kes itu dijadualkan berlangsung pada 11 November 2026, namun terjejas berikutan perintah sekatan yang masih berkuat kuasa.
Mahkamah menetapkan 25 Januari 2027 sebagai tarikh tamat lanjutan sementara itu, sementara menunggu pendengaran dan penyelesaian penuh permohonan utama untuk melanjutkan perintah sekatan terhadap Maju Holdings. - DagangNews.com





