
JAKARTA – Seorang lelaki berumur 20 tahun dikenali dengan inisial GP tertusuk hujung pagar besi berbentuk tombak di sebuah rumah di Pontianak Selatan dalam wilayah Kalimantan Barat, lapor laman berita DetikNews hari ini.
Kejadian tragis itu berlaku semalam kira-kira pukul 7.45 malam (waktu tempatan) di Jalan Perdana, Desa Parit Tokaya, Pontianak Selatan,
GP terjatuh ketika cuba memetik buah mangga dari pokok di halaman rumah seorang penduduk setempat. Malang sekali, badannya jatuh tepat di atas bucu pagar besi lalu tertusuk pada bahagian punggungnya.
Ketua Polis Pontianak Selatan, AKP Inayatun Nurhasannah berkata, kejadian itu disedari selepas pemilik rumah, Nendy Chandra, 48, mendengar suara meminta tolong di hadapan rumahnya.
Semasa melakukan pemeriksaan, Nendy melihat seorang lelaki duduk di atas pagar dengan hujung logam berbentuk tombak terbenam pada punggungnya. Nendy bertanya mengapa lelaki itu berada di atas pagar.
GP berkata, dia cuba memetik buah mangga tetapi terjatuh dan tertusuk bucu pagar.
Dalam keadaan panik, Nendy meminta bantuan penduduk dan melaporkan kejadian itu menerusi talian kecemasan.
“Setibanya di lokasi, anggota polis mendapati seorang lelaki sedang duduk di atas pagar rumah. Punggungnya tertusuk hujung pagar yang berbentuk tombak,” kata Inayatun, seperti dilaporkan oleh detikKalimantan hari ini.
Menurut Inayatun, GP datang seorang diri berjalan kaki dari rumahnya dengan membawa guni hitam. Dia kemudian memanjat pagar rumah Nendy untuk mengambil buah mangga.
Semasa berada di atas pagar, GP cuba menarik segugus mangga dari salah satu dahan pokok. Bagaimanapun, dahan tersebut tiba-tiba patah menyebabkannya terjatuh dan mendarat tepat di atas bucu pagar yang berbentuk tombak itu.
Ibu kandung GP, Arni, yang tiba di tempat kejadian selepas proses pemindahan, pengsan melihat keadaan anaknya. Dia kemudiannya dibawa ke hospital sama dengan menaiki ambulans. – AGENSI
The post Gagal curi mangga, punggung lelaki disula pagar besi appeared first on Kosmo Online.


