Pemandu positif dadah punca nahas 5 kenderaan di Kuala Pilah

22 Oct 2026 • 6:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemandu positif dadah punca nahas 5 kenderaan di Kuala Pilah

KUALA PILAH – Seorang lelaki yang memandu kereta dalam keadaan berbahaya dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan tiga buah kereta dan dua motosikal di kilometer 25, Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Kejadian yang tular menerusi beberapa rakaman video di media sosial kira-kira pukul 7.45 pagi itu turut menyebabkan pemandu kereta jenis Honda City berusia 39 tahun berkenaan patah tangan kanan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban sebelum melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.

“Pemandu berkenaan tidak memberhentikan kenderaannya, sebaliknya meneruskan perjalanan sebelum melanggar tembok jambatan di sebelah kiri jalan ketika melalui satu selekoh,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Menurut Alzafny, akibat pelanggaran itu, Honda City berkenaan berpusing sebelum melintang di atas jalan sehingga menghalang laluan kenderaan lain.

Katanya, sebuah Proton Exora, Honda CR-V dan motosikal jenis Yamaha 135LC yang melalui laluan sama tidak sempat mengelak lalu merempuh Honda City terbabit.

“Pemandu Honda City mengalami kecederaan patah tangan kanan, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan. Mangsa lain yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Alzafny berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan di Hospital Kuala Pilah mendapati pemandu Honda City itu positif dadah jenis methamphetamine dan pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan turut menemukan satu paket plastik mengandungi serbuk putih atau lutsinar yang dipercayai dadah jenis ketamin. – KOSMO! ONLINE

The post Pemandu positif dadah punca nahas 5 kenderaan di Kuala Pilah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved