Gagal lapor 53 transaksi mencurigakan: UBB Investment Bank dikenakan kompaun RM10 juta

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 2:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gagal lapor 53 transaksi mencurigakan: UBB Investment Bank dikenakan kompaun RM10 juta Image from: Gagal lapor 53 transaksi mencurigakan: UBB Investment Bank dikenakan kompaun RM10 juta liza17/08/2026 - 14:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos – UBB Investment Bank Ltd membayar kompaun keseluruhan RM10 juta selepas didapati melanggar beberapa peraturan berkaitan pencegahan pengubahan wang haram dan pematuhan kewangan.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, kompaun itu dikenakan bersama Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) susulan beberapa ketidakpatuhan yang dikesan terhadap bank pelaburan berlesen di Labuan itu.

 

UBB Investment Bank yang merupakan sebahagian daripada UBB Amanah Group didapati gagal melaporkan transaksi mencurigakan dalam tempoh ditetapkan serta tidak menjalankan semakan terhadap pelanggan dengan sewajarnya.

 

BNM berkata, pemeriksaan bersama LFSA pada Ogos 2024 mendapati terdapat ketidakpatuhan ketara dalam operasi UBB Investment Bank termasuk kegagalan mengemukakan laporan transaksi mencurigakan dengan segera.

 

Siasatan mendapati bank itu gagal mengemukakan laporan bagi 53 transaksi mencurigakan yang berlaku antara 2023 hingga 2024 yang melanggar Seksyen 14(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

 

Gagal Patuhi Prosedur Pengenalan Pelanggan

Selain kegagalan melaporkan transaksi mencurigakan, siasatan berasingan oleh LFSA mendapati UBB Investment Bank turut gagal mengenal pasti dan mengesahkan identiti seorang pelanggan dengan sewajarnya ketika proses penerimaan pelanggan pada 2023.

 

BNM berkata, kegagalan itu merupakan pelanggaran serius di bawah Seksyen 98(2) Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan 2010 (LFSSA).

 

Kegagalan tersebut menjejaskan keupayaan UBB Investment Bank untuk menilai dan mengesan kemungkinan penglibatan pelanggan berkenaan dalam kegiatan haram di luar negara.

 

Susulan pelanggaran itu, BNM dan LFSA mengenakan kompaun terhadap bank berkenaan. Bagaimanapun, kompaun tersebut tidak dibayar dalam tempoh yang ditetapkan.

 

Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa mengambil tindakan pendakwaan terhadap UBB Investment Bank bagi kesalahan di bawah AMLA dan LFSSA.

 

Kompaun RM10 Juta Dibayar Pada Jun

UBB Investment Bank kemudiannya mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara bagi memohon supaya kompaun berkenaan dikenakan semula.

 

Dengan persetujuan bertulis Pendakwa Raya, BNM dan LFSA pada 13 Mac 2026 mengenakan kompaun RM9 juta terhadap bank itu bagi kesalahan di bawah AMLA.

 

Pada tarikh sama, LFSA turut mengenakan kompaun RM1 juta bagi kesalahan di bawah LFSSA, menjadikan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM10 juta.

 

BNM berkata, UBB Investment Bank telah membayar sepenuhnya jumlah kompaun berkenaan pada 11 Jun 2026.

 

Susulan perkembangan itu, BNM dan LFSA menggesa institusi kewangan serta institusi pelapor lain supaya memperkukuh kawalan dalaman dan memastikan semua kewajipan pelaporan di bawah AMLA serta keperluan berkaitan dipatuhi.

 

BNM turut mengingatkan bank dan pihak lain yang diwajibkan membuat laporan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan sistem kewangan dieksploitasi oleh penjenayah. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved