PONTIAN – Cubaan seorang lelaki bujang untuk melarikan diri melalui pintu belakang ketika serbuan cegah maksiat gagal apabila dia berjaya dicekup bersama pasangannya, seorang wanita berstatus isteri orang, dalam serbuan di sini, baru-baru ini.
Serbuan dilakukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira jam 3.15 pagi di sebuah rumah kedai tingkat bawah selepas menerima aduan awam berhubung kegiatan khalwat di lokasi berkenaan.
Menurut kenyataan JAINJ, rumah tersebut terlebih dahulu dikepung bagi mengelakkan mana-mana pihak meloloskan diri.
“Pintu rumah diketuk dengan kuat sambil penguat kuasa memanggil penghuni, sebelum dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan t-shirt.
“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik mendapati keadaan cahaya samar-samar sebelum suis lampu dibuka dan seorang wanita ditemui sedang duduk di atas tilam memakai baju kelawar tanpa lengan,” menurut kenyataan itu.
JAINJ memaklumkan kedua-dua mereka kelihatan terkejut sebaik melihat kehadiran penguat kuasa di dalam bilik tersebut.
“Hasil pemeriksaan di tempat tidur mendapati tilam dalam keadaan berkembur dan kedua-duanya mengaku tidur bersama di situ.
“Mereka juga mengaku bukan pasangan suami isteri,” katanya.
Lelaki terbabit berusia 28 tahun, masih bujang dan bekerja tidak jauh dari kawasan itu, manakala wanita berusia 50 tahun masih berstatus isteri orang serta bekerja di tempat yang sama.
Siasatan mendapati rumah berkenaan disewa oleh wanita itu, manakala lelaki terbabit dipercayai kerap datang ke situ memandangkan rumahnya juga terletak tidak jauh dari lokasi tersebut.
Menurut pengadu yang identitinya dirahsiakan, lelaki berkenaan dikatakan datang ke bilik sewa wanita itu sekali atau dua kali seminggu.
JAINJ turut memaklumkan wanita itu berkenalan dengan lelaki terbabit di tempat kerja sebelum hubungan mereka menjadi semakin rapat.
Pasangan berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat.




