
KUALA NERUS: Gajah sesat yang menggemparkan penduduk Kampung Pengkalan Gelugor, di Jeram Manir, di sini ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, malam tadi.
Pengarahnya, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran gajah berkenaan pada malam semalam sebelum seramai 12 anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan Terengganu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi tangkapan.
Katanya, kehadiran gajah berkenaan menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk dan orang awam selain menyebabkan kerosakan terhadap tanaman serta aset penduduk.
“Dengan mengambil kira faktor keselamatan penduduk kampung dan situasi semasa, kerja pembiusan dilakukan sebelum gajah berkenaan ditangkap di Kampung Banggol Peradong dan ditambat malam tadi.
“Ia adalah seekor gajah betina dengan ukuran tapak kaki kira-kira 16 inci,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemerhatian awal mendapati gajah liar berkenaan berada dalam keadaan stabil dan sihat. – UTUSAN
The post Gajah gemparkan penduduk Manirditangkap appeared first on Utusan Malaysia.




