
KUALA NERUS – Suasana sunyi di kawasan Kampung Pengkalan Gelugor, Jeram, Manis di sini bertukar pesta apabila penduduk keluar beramai-ramai untuk melihat seekor gajah yang masuk ke kawasan penempatan mereka kelmarin.
Tinjauan Kosmo! Ahad pada pukul 11.30 malam mendapati orang ramai berpusu-pusu ke kawasan berkenaan untuk melihat gajah terbabit meskipun sudah diminta meninggalkan kawasan tersebut oleh pihak polis.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Jeram Hulu, Yusof Muhammad berkata, penduduk teruja melihat kehadiran mamalia tersebut kerana ia tidak pernah masuk ke kampung itu.
“Sebelum ini kalau hendak lihat gajah kita perlu ke Kenyir tetapi semalam (kelmarin) ia muncul di depan mata. Sebelum ini gajah tidak pernah masuk kampung ini,” katanya ketika ditemui.
Menurut Yusof, penduduk dinasihatkan agar tidak menghampiri gajah itu kerana boleh mendatangkan risiko keselamatan.
Sementara itu, Muhammad Afwan Ibrahim, 27, berkata, dia terkejut apabila mendapati gajah berkenaan sedang makan pokok tebu di belakang rumahnya pada pukul 8.30 malam.
“Saya bergegas pulang sebaik ibu memaklumkan ada gajah di belakang rumah. Sebaik buka tingkap, saya terkejut lihat gajah itu sedang makan pokok tebu sebelum bergerak ke kawasan lain,” katanya.
Menurut Muhammad Afwan, keadaan ketika itu mencemaskan kerana terdapat bayi berusia tiga bulan di dalam rumah.
The post Ada bayi dalam rumah, gajah seronok makan tebu appeared first on Kosmo Digital.

![[VIDEO] Hutan terbakar, asap tebal selubungi sekitar bangunan JAIS](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-17-at-6.05.09-PM-1024x688.jpeg)
![[VIDEO] Ada asap, nampak bomba dekat ‘airport’ Subang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/lt-suang-1024x722.jpeg)

