Gajah liar musnahkan 500 pokok pisang

LocalEnvironment
15 Oct 2026 • 7:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gajah liar musnahkan 500 pokok pisang

SUNGAI SIPUT: Seorang pekebun pisang di Kampung Bekut, Pulau Kemiri di sini, menanggung kerugian apabila kira-kira 500 pokok pisang berangan yang hampir dituai musnah akibat serangan sekumpulan gajah liar Ahad lalu.

Juperi Zainuddin, 46, ber­kata, kejadian itu amat mengecewakan kerana tanaman di kebun seluas hampir dua hektar itu sudah hampir berusia setahun dan hanya menunggu masa untuk dituai serta dipasarkan.

Katanya, sebahagian besar tanaman berkenaan rosak sebelum sempat memberikan pulangan, sekali gus menyebabkan segala usaha dan kos yang dikeluarkan tidak membuahkan hasil seperti diharapkan.

“Pokok pisang berangan itu sudah hampir setahun dan hanya menunggu masa untuk dijual. Namun, belum sempat saya memasarkan hasilnya, kumpulan gajah liar terlebih dahulu memusnahkan tanaman berkenaan.

“Batang, daun dan buah pisang rosak, malah gajah turut meninggalkan longgokan najis di kawasan kebun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, dia telah mengeluarkan kos yang tinggi untuk mengusahakan tanaman berkenaan, termasuk perbelanjaan bagi pembajaan, racun dan kerja pembersihan kebun.

Lebih membimbangkan, katanya, kehadiran gajah liar secara berkumpulan bukan sahaja mengancam tanaman, malah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk kampung.

“Saya buntu memikirkan kerugian yang terpaksa ditanggung kerana tanaman yang diusahakan hampir setahun musnah begitu sahaja,” katanya.

Juperi yang membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) serta polis berhubung kejadian tersebut, turut menghargai tindakan pantas Perhilitan yang hadir ke lokasi selepas menerima aduan, selain menjalankan pemantauan menggunakan dron bagi memantau keadaan kawasan berkenaan. – UTUSAN

The post Gajah liar musnahkan 500 pokok pisang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved