
TELUPID: Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) mengetuai usaha menyelamat seekor anak gajah betina berusia kira-kira satu hingga dua tahun, selepas haiwan itu cedera parah akibat terkena jerat jenis jerut di kawasan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dalam Hutan Simpan Tawai, baru-baru ini.
Pengarah JHL, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, anak gajah berkenaan mengalami kecederaan pada kaki kanan selepas terkena jerat yang diperbuat daripada tali.
Katanya, usaha menyelamat itu dilaksanakan menerusi kerjasama gabungan Community Elephant Ranger Team (CERT) Telupid, JHL PPOUS, Ranger Community, 7Team dan CHWW Telupid.
“Setakat ini kita masih memantau selepas rawatan diberikan kepada anak gajah tersebut pada 24 September lalu.
“Kita mengharapkan anak gajah tersebut boleh terus bergerak dalam kumpulannya,” katanya ketika dihubungi Daily Express pada Jumaat.
Menurutnya, JHL melalui kerjasama Ranger Komuniti dan Team Komuniti Pengiring Gajah turut meneruskan pemantauan terhadap anak gajah berkenaan, selain menjalankan operasi pembersihan jerat di kawasan tersebut.
Sementara itu, Penyelaras Community Elephant Ranger Team (CERT) Telupid merangkap Penyelaras Projek Harmoni Manusia Gajah, Alvein Dee Albenus berkata, pihaknya menerima aduan daripada pihak Pan Borneo pada 22 September yang memaklumkan anak gajah itu telah dilihat selama kira-kira dua hari dalam keadaan sukar berjalan.
Katanya, susulan aduan itu, pasukannya turun ke lokasi untuk memantau keadaan anak gajah berkenaan sebelum memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Hidupan Liar Sandakan, doktor veterinar dan Pejabat Perhutanan Telupid.
“Hasil pemeriksaan mendapati jerat berkenaan masih berada pada kaki kanan anak gajah itu dan menyebabkan luka yang sangat dalam, hampir mengenai tulang,” katanya.
Alvein berkata, walaupun pemantauan pergerakan gajah dilakukan oleh pasukannya setiap minggu, keluasan Hutan Simpan Tawai serta pergerakan gajah yang tidak menentu menyukarkan setiap pergerakan haiwan berkenaan dikesan pada setiap masa.
Beliau berkata, gajah boleh keluar dan masuk ke kawasan hutan pada bila-bila masa serta melalui laluan berbeza.
“Dalam tempoh sebelum penemuan anak gajah ini, terdapat juga kumpulan gajah lain yang kerap memasuki kawasan kampung. Oleh itu, tumpuan pasukan kami ketika itu lebih banyak diberikan kepada kawasan komuniti bagi membantu pemantauan serta mengurangkan risiko konflik manusia-gajah,” katanya.
Alvein berkata, CERT Telupid kini mempunyai lapan anggota terdiri daripada belia dari beberapa kampung di Telupid, termasuk komuniti yang telah berdepan konflik manusia-gajah selama kira-kira 10 tahun.
Menurutnya, melalui pendekatan Forever Sabah – Projek Harmoni Manusia Gajah, pasukan itu menjalankan aktiviti Citizen Science, termasuk mengumpul maklumat dan pemerhatian berkaitan pergerakan, tingkah laku serta interaksi gajah dengan persekitaran dan komuniti.
Mengulas mengenai penggunaan jerat, Mohd Soffian berkata, jerat merupakan kaedah pemburuan yang dilarang di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
“Jerat ini tidak mengenal mangsa. Walaupun mungkin dipasang untuk haiwan seperti babi atau rusa serta mamalia kecil lain, ia juga boleh terkena kepada haiwan lain.
“Disebabkan perkara ini, kaedah pemburuan menggunakan jerat tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata, jerat masih berleluasa digunakan kerana bahan untuk membuatnya mudah dibawa dan boleh dipasang menggunakan bahan yang terdapat di persekitaran hutan, selain kos pembuatannya yang minimum.
Menurutnya, jerat lazimnya tidak dipasang terlalu jauh dari kawasan sempadan hutan kerana ia perlu dipantau secara berkala.
Mohd Soffian berkata, operasi pembersihan jerat akan terus dijalankan bersama pemantauan bagi mengurangkan risiko hidupan liar menjadi mangsa.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak memasang jerat serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Katanya, kejadian anak gajah berkenaan menunjukkan bahawa penggunaan jerat bukan sahaja boleh mengancam spesies sasaran, malah turut membahayakan hidupan liar lain yang melalui kawasan berkenaan.






