Gajah liar rosakkan kebun Orang Asli di Pos Belatim

7 Sep 2023 • 2:54 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Belatim mendakwa kini berdepan ancaman gajah liar yang muncul di kawasan kebun dan memusnahkan tanaman yang diusahakan mereka sejak minggu lalu.

Penduduk mendakwa haiwan tersebut dikesan menceroboh kebun pisang serta ubi kayu di Kampung Kajak pada 28 Ogos dan bergerak ke Kampung Cacuh pada keesokan harinya.

Pemilik kebun di Kampung Kajak, Rahimi Dolah, 45, berkata dalam kejadian terbaru petang semalam, penduduk semua ketakutan apabila terdengar bunyi gajah sedang berjalan di kawasan kebun.

“Kami ada terdengar bunyi tapak kaki gajah sedang memijak pokok-pokok dari kawasan kebun yang telah dimusnahkan sebelum ini yang berjarak kira-kira 300 meter dari kampung, tetapi terlampau takut untuk pergi melihat dengan dekat.

“Kami percaya gajah yang menceroboh itu dua ekor kerana terjumpa dua kesan tapak kaki yang berlainan saiz di kawasan kebun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pemilik kebun di Kampung Cacuh, Sari Uda, 40, berkata kebun tanamannya telah dirosakkan mamalia tersebut pada Selasa lalu (29 Ogos).

“Jarak dari Kampung Kajak ke kebun saya di Kampung Cacuh kira-kira satu kilometer sahaja, jadi apabila saya mendapat tahu tentang serangan gajah di kampung sebelah, saya hanya mampu berdoa kampung kami akan terselamat tetapi malangnya keesokan harinya kebun saya pula dirosakkan gajah terbabit.

“Semua kejadian berlaku pada waktu malam dan saya hanya menyedarinya pada waktu pagi setelah sampai di kebun. Rasanya tidak mustahil gajah itu akan bergerak ke perkampungan lain dalam Pos Belatim jadi saya berharap pihak berwajib dapat segerakan tindakan yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkaitan ancaman gajah daripada pekebun yang terlibat.

Menurutnya Perhilitan Gua Musang kini sedang merangka penyelesaian terbaik bagi isu tersebut memandangkan mereka berdepan cabaran geografi untuk membawa jentera pemindahan gajah masuk ke kampung terbabit. - Bernama