
KUALA LUMPUR: Seramai 504 atlet Orang Asli menyertai Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) 2023 yang diadakan selama tiga hari bermula 3 hingga 6 Sept di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dekat sini.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 168 pegawai pengiring yang terdiri daripada pengurus pasukan, pegawai teknikal dan jurulatih turut terlibat dalam karnival sukan yang masuk tahun kedua penganjuran itu dengan Selangor selaku tuan rumah bagi temasya kali ini.
Karnival Sukan Orang Asli itu bertujuan mencari dan mencungkil bakat terpendam serta melahirkan atlet sukan dalam kalangan masyarakat Orang Asli selain merapatkan hubungan silaturahim 18 suku kaum Orang Asli di Semenanjung Malaysia melalui sukan.
“Temasya sukan ini menampilkan peserta terbaik yang dipilih mewakili negeri masing-masing melalui kejohanan di peringkat negeri yang telah bermula sejak April lalu,” menurut kenyataan itu.
Bagi penganjuran KSOA 2023 ini, kerjasama dalam pencarian bakat sukan diadakan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membawa atlet Orang Asli ke peringkat yang lebih tinggi.
Sebanyak lapan acara dipertandingkan dalam kejohanan itu iaitu futsal, sepak takraw, bola jaring, badminton, menyumpit, e-sukan, kemahiran pakaian kebudayaan atau tradisional dan kemahiran tarian kebudayaan atau tradisional.
Menurut kenyataan itu, sepanjang kejohanan berlangsung, sekretariat dan atlet dilindungi insurans Tune Protect sekiranya berlaku sebarang kecederaan dan kemalangan, serta dibantu pasukan perubatan Hospital Orang Asli Gombak (HOAG) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Perkhidmatan bas ulang-alik (shuttle) Maraliner turut disediakan untuk memudahkan pergerakan para penyokong dan penonton.
Hadiah bagi pemenang turut mendapat tajaan daripada AEON Big berupa barangan dan kad hadiah sementara bantuan peralatan gimik perasmian dari GIATMARA dan persediaan perasmian dibantu Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).
KSOA 2023 dirasmikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang. -Bernama

