
BERA – Sebaik sahaja laporan mengenai isu pencerobohan disiarkan akhbar ini sejak bulan lalu, timbul persoalan terbaharu apabila populasi gajah liar yang kerap berkeliaran di Hutan Simpan Kekal Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) Tasik Bera di sini, sudah tidak kelihatan.
Penduduk di sekitar kawasan tersebut memaklumkan sudah lama tidak melihat haiwan liar itu berikutan penerokaan haram yang dikatakan mencecah kira-kira 7,000 hektar.
Malah berdasarkan tinjauan mendapati, hutan sekeliling tasik itu juga telah ditebang dan ditanam kelapa sawit sehingga tiada lagi kawasan rayau untuk gajah.
Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, kawanan gajah di Tasik Bera telah hilang apabila kawasan rayau mereka dimusnahkan dan digantikan dengan sawit.
“Ia menyebabkan gajah-gajah berkenaan kini tidak dapat bergerak untuk ke Hutan Simpan Chini Tambahan yang menjadi laluan rayau. Dulu ada cadangan untuk membiarkan kawasan hutan bagi laluan gajah tetapi kini hutan berkenaan telah ditanam sawit, malah ia turut dikelilingi pagar elektrik dan parit gajah.
“Jadi bagaimana nasib gajah-gajah ini, sudahlah Hutan Ramsar pun semakin mengecil apabila diteroka secara haram,” katanya di sini semalam.
Katanya, terdapat juga antara kawanan gajah di hutan berkenaan terpisah kerana penerokaan hutan di kawasan Ramsar dan hutan di sekeliling.
Seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Alis berkata, dia yang sering ke Tasik Bera untuk mencari ikan sudah lama tidak menemukan gajah-gajah yang biasa berkeliaran di kawasan itu.
“Kalau dulu, setiap kali masuk hutan mesti ada terjumpa tahi gajah tetapi sekarang memang tiada lagi tahi gajah apatah lagi kelibat haiwan itu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah, Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Jamilah Mohd. Salim@Halim berkata, apabila hutan di tapak Ramsar dibuka, berlaku fragmentasi habitat untuk gajah dan haiwan liar.
Ujarnya, ada kebarangkalian pergerakan haiwan liar termasuk gajah akan terganggu dan mengganggu aktiviti rayauan.
Kosmo! baru-baru ini mendedahkan, tapak Ramsar yang diiktiraf sejak 1994 itu kini berdepan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar kawasan diteroka secara haram dengan sawit, getah dan pelbagai tanaman kontan.
Pencerobohan ini dipercayai didalangi sindiket yang berselindung di sebalik nama Orang Asli dengan mempergunakan mereka melalui isu tanah adat dan juga kawasan rayau etnik bagi membuka tanah haram.
Penanaman berlaku di hampir seluruh kawasan Ramsar pertama Malaysia itu, dengan kurang daripada separuh kawasan hutannya yang masih bertahan.
Ia sekali gus, mencetuskan persoalan sama ada pengiktirafan yang digazetkan Konvensyen Ramsar di bawah UNESCO masih relevan atau sebaliknya apabila ia bakal dipenuhi tanaman kontan. – KOSMO! ONLINE
The post Gajah Tasik Bera mula menghilang appeared first on Kosmo Online.





