Jangan sampai Ramsar Tasik Bera hanya tinggal nama

LocalEnvironment
30 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jangan sampai Ramsar Tasik Bera hanya tinggal nama

BERA – Meskipun Hutan Ramsar Tasik Bera telah diteroka pihak tidak bertanggungjawab, inisia­tif untuk pemulihan dan juga penambahbaikan di kawasan Ramsar pertama negara perlu dilakukan sesegera mungkin.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, Jabatan Hutan dan pihak berkuasa terbabit perlu melakukan tindakan segera bagi memulihkan kawasan yang rosak kerana penerokaan.

“Selain itu juga satu sempadan yang jelas perlu dibuat dan diketahui penduduk dalam usaha berterusan untuk memelihara Ramsar Tasik Bera.

“Pemulihan dan penambahbaikan amat penting kerana kalau tidak Ramsar ini tinggal cerita sahaja,” katanya di sini semalam.

Ujarnya, selain itu juga perbincangan perlu dilakukan dengan semua pihak terbabit bagi menjaga dan memulihara hutan Ramsar termasuk dalam aspek pendidikan kepada orang ramai.

Jelasnya, kawasan yang terosot perlu ditanam semula dengan pokok hutan seperti pokok buah buahan hutan yang mempunyai kepentingan kepada suku Semelai dan masa depan mereka.

Mengulas mengenai kerosakan di Ramsar Tasik Bera, beliau berkata, sepatutnya undang-undang sedia ada seperti Akta Perhutanan Negara 1984 serta enakmen negeri mampu mengekang pencerobohan haram.

Namun, katanya, yang menjadi persoalan bagaimana bukan sahaja penerokaan dilakukan tetapi juga penanaman sawit dalam skala besar boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Pada 20 September lalu, Kos­mo! mendedahkan, Tapak Ramsar yang diiktiraf sejak 1994 itu berdepan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar kawasan dikatakan diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah dan pelbagai tanaman kontan.

Pencerobohan ini dipercayai dilakukan oleh dalang atau sindiket berselindung di sebalik nama Orang Asli yang mempergunakan mereka melalui isu ta­nah adat dan juga kawasan rayau etnik bagi membuka tanah secara haram.

Pencerobohan itu mencetuskan persoalan sama ada pengiktirafan yang digazetkan Konvensyen Ramsar di bawah UNESCO masih relevan atau sebaliknya apabila ia bakal dipenuhi dengan tanaman kontan tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Jangan sampai Ramsar Tasik Bera hanya tinggal nama appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved