Eksponen16/10/2026 - 07:00 Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA editor@dagangnews.com Bagi pekerja yang menerima gaji minimum, tambahan RM300 sebulan tentu melegakan. Duit itu boleh digunakan untuk membeli barang dapur, membayar bil atau menampung belanja anak-anak yang semakin meningkat.
Tetapi bagi pemilik perniagaan terutama PMKS, RM300 itu bukan sekadar tambahan pada slip gaji seorang pekerja. Kalau ada 20 pekerja, tambahan gaji pokok sahaja sudah mencecah RM6,000 sebulan atau RM72,000 setahun. Itu belum termasuk caruman majikan dan kos lain yang berkaitan.
Di sinilah timbul persoalan yang jarang dibincangkan apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji. Dari mana majikan hendak mendapatkan wang tambahan itu?
Belanjawan 2027 menetapkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027. Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan.
Pengecualian itu penting. Namun, bagi majikan yang tertakluk kepada kadar baharu, keputusan menaikkan gaji tetap perlu disertai kira-kira perniagaan. Ada yang mampu menyerap kos tersebut. Ada yang mungkin terpaksa menangguhkan pengambilan pekerja baharu atau menyemak semula perbelanjaan operasi.
Saya menyokong usaha meningkatkan pendapatan pekerja. Gaji RM1,700 memang semakin sukar untuk menampung kehidupan, khususnya di bandar. Tetapi kita juga perlu melihat apa yang berlaku di belakang kaunter kedai, di pejabat kecil dan di kilang apabila kos menggaji pekerja meningkat.
Jualan RM50 juta bukan bermakna untung besar

Dalam ucapan Belanjawan 2027, kerajaan mengecualikan PMKS dengan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta daripada kadar gaji minimum baharu. Ini bermakna bukan semua kedai, bengkel atau restoran perlu membayar RM2,000 mulai Jun 2027.
Namun, butiran pelaksanaan pengecualian itu perlu diperjelaskan. Jangan pula kita menganggap perniagaan yang mencatatkan jualan besar semestinya mempunyai keuntungan besar.
Ada perniagaan yang jualannya berjuta-juta ringgit tetapi margin keuntungannya kecil. Selepas membayar sewa, membeli stok, menanggung bil elektrik dan membayar pembekal, baki yang tinggal mungkin tidak sebanyak yang disangka.
Tambahan pula, jualan tidak semestinya bermakna wang sudah masuk ke dalam akaun. Pelanggan korporat mungkin mengambil masa untuk menjelaskan bayaran. Tetapi apabila tiba hujung bulan, gaji pekerja tetap perlu dibayar.
Walaupun dikecualikan, pengusaha kecil masih berdepan persaingan mendapatkan pekerja. Jika restoran berhampiran menawarkan gaji lebih tinggi, pemilik kedai mungkin terpaksa menilai semula kadar upahnya supaya pekerja tidak berpindah.
Pengecualian kerajaan memberikan sedikit ruang bernafas. Namun, ia tidak menjamin kos operasi perniagaan akan kekal seperti sebelumnya.
Bagi majikan yang tertakluk kepada kadar baharu, pilihan mereka juga tidak semudah menaikkan harga barang untuk menampung tambahan gaji.
Ada yang sanggup menerima keuntungan lebih kecil. Ada yang cuba mengurangkan perbelanjaan lain. Ada juga yang mungkin menangguhkan rancangan mengambil pekerja tambahan.
Pekerja lama yang berpengalaman pula mungkin meminta pelarasan gaji apabila pendapatan pekerja baharu semakin hampir dengan gaji mereka.
Pekerjaan yang tidak pernah ditawarkan
Pada November 2025, The Economist menerbitkan rencana yang mempertikaikan kecenderungan kerajaan untuk terus menaikkan gaji minimum.
Saya bersetuju dengan sebahagian hujahnya, terutama tentang kesan kenaikan gaji minimum terhadap peluang pekerjaan.
Apabila kos menggaji meningkat, majikan tidak semestinya terus membuang pekerja. Ada yang memilih untuk tidak mengambil pekerja baharu. Ada yang membiarkan jawatan kosong tanpa pengganti apabila seseorang berhenti.
Inilah kesan yang kurang mendapat perhatian.
Kita mudah mengetahui apabila sebuah kilang memberhentikan 100 pekerja. Berita itu boleh dilaporkan dan jumlah pekerja yang kehilangan pekerjaan dapat dikira.
Tetapi bagaimana hendak mengira 100 peluang pekerjaan yang tidak pernah diwujudkan kerana majikan mengambil keputusan menangguhkan pengambilan?
Bagi anak muda yang baru tamat belajar atau sedang mencari pekerjaan pertama, kesannya tetap sama. Mereka masih belum mendapat kerja.
Kebimbangan ini turut mempunyai asas dalam konteks Malaysia
Kajian Hazrul Shahiri dan rakan-rakan mendapati kenaikan gaji minimum boleh menjejaskan pekerjaan belia, khususnya apabila kadar yang sama digunakan di negeri yang mempunyai keadaan ekonomi berbeza.
Kos hidup di Kuala Lumpur tidak sama seperti di Segamat. Begitu juga saiz pasaran, peluang pekerjaan dan kemampuan majikan membayar gaji.
Namun, saya tidak bersetuju jika dapatan tersebut dijadikan alasan untuk menolak kenaikan gaji minimum.
Pekerja juga tidak boleh diminta terus bersabar menerima gaji rendah sedangkan harga makanan, sewa rumah dan pelbagai keperluan harian semakin meningkat.
Malah, membayar gaji lebih baik boleh membantu majikan mengekalkan pekerja berpengalaman. Pekerja yang tidak kerap bertukar kerja juga dapat mengurangkan kos mencari dan melatih pengganti.
Cuma kesannya tidak sama bagi setiap perniagaan. Syarikat yang produktif dan mempunyai kedudukan kewangan kukuh mungkin lebih mudah menyesuaikan diri berbanding pengusaha kecil yang masih bergelut mendapatkan pelanggan.
Bantuan rakyat belum tentu menambah jualan semua peniaga
Ada satu lagi perkara dalam Belanjawan 2027 yang perlu dilihat bersama kenaikan gaji minimum.
Kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion.
Bantuan itu dapat meringankan perbelanjaan isi rumah. Apabila digabungkan dengan kenaikan gaji minimum bagi pekerja yang terlibat, ada potensi untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna.
Tetapi jangan terus menganggap semua peniaga akan mendapat manfaat yang sama.
SARA hanya boleh digunakan untuk membeli barangan yang dibenarkan di premis yang mengambil bahagian. Kedai runcit yang menyertai program itu mungkin menerima lebih ramai pelanggan.
Bagaimana pula dengan bengkel kereta, kedai gunting rambut atau perniagaan perkhidmatan lain yang turut menanggung kenaikan kos gaji?
Mereka belum tentu menikmati pertambahan jualan yang setara.
Sampaikah Manfaat?
Di sinilah kita perlu memahami bahawa manfaat sesuatu dasar tidak semestinya sampai kepada perniagaan yang menanggung kos pelaksanaannya.
Bantuan kerajaan memang membantu keluarga yang memerlukan. Namun, kita tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada bantuan untuk menampung pendapatan daripada pekerjaan yang masih tidak mencukupi.
Bank Negara Malaysia melaporkan produktiviti buruh meningkat sebanyak 9% secara terkumpul antara 2019 hingga 2025, sedangkan gaji benar bagi setiap pekerja sektor swasta menurun 1.7%.
Angka ini menggambarkan masalah yang lebih besar. Ekonomi boleh menjadi lebih produktif tanpa pekerja semestinya menikmati peningkatan kuasa beli.
Namun, statistik seluruh ekonomi itu juga tidak bermakna setiap PMKS mempunyai kemampuan kewangan yang sama untuk menaikkan gaji.
Sebab itulah perbincangan tentang gaji minimum tidak boleh terhenti pada angka RM2,000 sahaja.
Kerajaan perlu memastikan perniagaan kecil mendapat akses kepada latihan, peralatan dan pembiayaan yang benar-benar membantu mereka meningkatkan produktiviti. Pengecualian PMKS pula mesti mempunyai garis panduan yang jelas supaya majikan memahami kedudukan masing-masing.

Selepas Jun 2027, saya mahu kerajaan melihat lebih jauh daripada jumlah pekerja yang diberhentikan.
Perhatikan juga berapa ramai pekerja baharu diambil, berapa banyak jawatan kosong yang ditawarkan, sama ada jam bekerja dikurangkan dan bagaimana harga barang berubah.
Saya mahu kedai kecil terus beroperasi dan mengambil pekerja. Saya juga mahu pekerjanya menerima gaji yang lebih baik.
Dan saya tidak mahu anak muda yang datang mencari kerja terpaksa pulang kerana majikan sudah tidak mampu menambah kakitangan.
Kejayaan gaji minimum RM2,000 bukan sekadar berapa ramai pekerja menerima tambahan RM300 sebulan.
Kita juga perlu tahu berapa ramai yang masih mempunyai peluang untuk mendapat pekerjaan. - DagangNews.com
WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA merupakan seorang Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta seorang penganalisis industri, kolumnis dan penulis yang aktif mengulas isu-isu berkaitan kewangan, pelaburan dan ekonomi di Malaysia.






