Yuran dijangka naik 20% susulan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 - Persatuan Tadika Malaysia

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 3:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Yuran dijangka naik 20% susulan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 - Persatuan Tadika Malaysia Image from: Yuran dijangka naik 20% susulan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 - Persatuan Tadika Malaysia amree15/10/2026 - 15:33 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt — Yuran tadika swasta dijangka meningkat hingga 20% susulan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 bermula Jun 2027, didorong tekanan kos operasi yang semakin bertambah terhadap pengusaha pusat penjagaan kanak-kanak.

 

Kenaikan kos tenaga kerja dijangka menambah beban kewangan pengusaha, khususnya pusat berskala kecil yang mempunyai bilangan kanak-kanak terhad serta perlu menanggung perbelanjaan makanan, barangan kebersihan dan bahan pembelajaran.

 

Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia (PTM), Elvis Gan berkata, kemampuan pengusaha untuk dapat menyerap balik kenaikan kos gaji itu bergantung pada bilangan kanak-kanak yang berdaftar, kutipan yuran dan komitmen operasi masing-masing.

 

"Anggaran berkaitan kos tenaga kerja tidak mengambil kira caruman majikan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kos-kos lain, namun unjuran ini bukan kadar kenaikan yuran yang dicadangkan oleh pihak PTM sendiri," jelas beliau.

 

Bagi mengurangkan tekanan kos tersebut, PTM mencadangkan agar subsidi gaji bersasar diberikan oleh pihak kerajaan kepada pengusaha tadika berdaftar yang layak, khususnya sepanjang tempoh penyesuaian terhadap pelaksanaan gaji minimum baharu.

 

Gan turut mencadangkan supaya geran latihan dan peralatan keselamatan serta bantuan mendapatkan premis pada kadar sewa yang berpatutan disalurkan bagi membantu pengusaha untuk mampu mengawal perbelanjaan operasi semasa mereka.

 

tadika_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

PTM juga menyarankan bantuan yuran kepada keluarga yang memerlukan, termasuk ibu bapa yang tidak layak menikmati pelepasan cukai, selain pembelian pukal barang keperluan untuk mengurangkan kos tanpa menjejaskan pemakanan, kualiti pendidikan serta keselamatan kanak-kanak.

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (ARCPM), Norsheila Abdullah pula memberi amaran, pengusaha kecil berisiko menutup operasi sekiranya tidak menerima apa-apa sokongan yang mencukupi untuk menghadapi peningkatan kos.

 

"Penutupan pusat jagaan swasta bukan sahaja menjejaskan pekerjaan ramai pengasuh, malah boleh mengehadkan akses ibu bapa kepada perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang selamat dan mudah diperoleh berdekatan rumah atau tempat kerja," katanya.

 

Beliau turut memberi peringatan bahawa masalah kekurangan kemudahan penjagaan yang sesuai boleh menyebabkan kanak-kanak ditempatkan di pusat tanpa mempunyai pekerja terlatih, pemantauan ketat atau piawaian keselamatan mencukupi.

 

Justeru ujar Norsheila, ARCPM menggesa kajian dibuat mengenai kesan kenaikan kos terhadap pusat jagaan swasta, khususnya yang melayani keluarga berpendapatan rendah atau beroperasi di kawasan yang kekurangan kemudahan penjagaan kanak-kanak.

 

Beliau turut mencadangkan dana khusus bagi sektor penjagaan kanak-kanak dan pembangunan awal, berasingan daripada peruntukan pendidikan formal, bagi memastikan akses penjagaan berkualiti dapat diperkukuh sebelum kanak-kanak memasuki sekolah. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved