Gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2026 • 12:16 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027

KERAJAAN bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027 yang akan memberikan manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang untuk penyesuaian model perniagaan.

Beliau berkata langkah itu bertujuan merapatkan kesenjangan produktiviti dan upah pekerja, khususnya ketika pendapatan rakyat tidak meningkat sejajar dengan kenaikan harga barangan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.

“Kadar gaji minimum hanya meningkatkan lantai pendapatan pekerja, sedangkan upah pekerja mahir masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan mereka.

“Pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia masih rendah pada kadar 33.9 peratus,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meningkatkan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan yang akan memberikan manfaat kepada 230,000 pekerja.

Anwar turut menyeru semua majikan swasta supaya mengikut langkah sama dalam menawarkan gaji lebih wajar kepada pekerja, seperti yang telah dilaksanakan beberapa majikan sektor utama termasuk perbankan serta minyak dan gas.

Sementara itu, bagi menutup ruang majikan menggaji pekerja asing tanpa izin, beliau berkata syarikat selain PMKS hanya boleh menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji sekiranya bayaran dibuat melalui akaun bank, selaras dengan saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.

Bagaimanapun, potongan cukai bagi perbelanjaan lain tidak tertakluk kepada syarat berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved