Kenaikan gaji minimum jangan sampai bebankan rakyat lain

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2026 • 6:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kenaikan gaji minimum jangan sampai bebankan rakyat lain

PETALING JAYA: Kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 dibimbangi menyebabkan harga barang dan perkhidmatan meningkat sekiranya majikan memindahkan kos tambahan pembayaran gaji kepada pengguna.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, walaupun lebih empat juta pekerja dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan itu, kerajaan perlu mengambil kira kesannya terhadap jutaan pekerja lain yang tidak menikmati peningkatan gaji.

Katanya, keadaan tersebut boleh menyebabkan golongan yang tidak menerima kenaikan gaji turut menanggung peningkatan kos sara hidup sekiranya harga barang meningkat.

“Apabila kos membayar gaji meningkat, adakah kita yakin syarikat-syarikat besar akan sanggup mengurangkan keuntungan mereka?

“Atau akhirnya kos tambahan ini dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barang?

“Yang dapat kenaikan gaji hanya sebahagian pekerja, tetapi yang mungkin terpaksa menanggung kenaikan harga barang ialah seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Akmal berkata, beliau menyokong usaha meningkatkan pendapatan pekerja, namun pelaksanaannya perlu dipastikan tidak memberi tekanan kepada rakyat lain.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memantau harga barang dan perkhidmatan secara berkala selepas pelaksanaan kenaikan gaji minimum, selain mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menaikkan harga secara tidak munasabah.

Katanya, penguatkuasaan terhadap kartel, pencatutan dan manipulasi harga juga perlu diperkukuh bagi mengelakkan kos tambahan dipindahkan sewenang-wenangnya kepada pengguna.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan bantuan bersasar diberikan kepada perusahaan mikro dan kecil yang benar-benar terkesan menerusi insentif sementara, latihan produktiviti serta sokongan automasi.

“Kerajaan juga perlu memastikan pelaksanaan gaji minimum dibuat secara berperingkat dan berdasarkan data, dengan mengambil kira kemampuan majikan, produktiviti pekerja serta kos sara hidup mengikut negeri dan sektor,” katanya.

Beliau berkata, perlindungan terhadap pekerja yang tidak menerima kenaikan gaji juga perlu diperluas melalui peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan bergaji lebih baik dan semakan gaji yang lebih menyeluruh.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu menerbitkan laporan berkala secara telus mengenai kesan pelaksanaan dasar berkenaan terhadap harga barang, keuntungan syarikat, peluang pekerjaan dan kuasa beli rakyat.

“Jangan hanya sibuk mengumumkan kenaikan gaji RM300, tetapi gagal memastikan kuasa beli rakyat benar-benar meningkat.

“Kerana rakyat bukan makan angka gaji di atas kertas. Rakyat perlu membayar harga barang di dunia sebenar,” katanya. – UTUSAN

The post Kenaikan gaji minimum jangan sampai bebankan rakyat lain appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved