Gaji RM3,100 percepat AI ganti pekerja

LocalBusiness & Finance
25 Aug 2026 • 4:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gaji RM3,100 percepat AI ganti pekerja

KUALA LUMPUR: Cadangan menaikkan gaji minimum kepada RM3,100 sebulan berpotensi mempercepatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam sektor perniagaan sekiranya peningkatan kos tenaga kerja tidak disusuli oleh peningkatan produktiviti.

Bekas pemimpin kanan DAP, Ronnie Liu Tian Khiew berkata, majikan yang berdepan peningkatan mendadak kos buruh mungkin melihat teknologi sebagai pilihan lebih menguntungkan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga manusia.

Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana matlamat meningkatkan pendapatan pekerja tidak seharusnya berakhir dengan pengurangan peluang pekerjaan.

“Dahulu, perniagaan mungkin menganggap mesin terlalu mahal untuk jawatan yang membayar RM1,700. Jika kos buruh meningkat dengan pesat, pulangan pelaburan untuk AI, sistem layan diri, robotik dan automasi akan tiba-tiba menjadi sangat menarik.

“Hasil akhirnya mungkin bukan semua orang mendapat RM3,100, sebaliknya perniagaan akan menggaji lebih sedikit orang tetapi membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja yang kekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kerajaan perlu memastikan peningkatan gaji bergerak seiring peningkatan produktiviti supaya majikan mempunyai keupayaan sebenar untuk membayar gaji lebih tinggi.

Katanya, antara langkah yang boleh dilaksanakan ialah memperluas pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memberi insentif pendigitalan dan automasi serta menyediakan latihan semula kepada pekerja yang terkesan akibat perubahan teknologi.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mempunyai pelan peralihan bagi sektor yang berdepan tekanan kos lebih tinggi supaya peningkatan gaji minimum tidak menyebabkan majikan mengurangkan pengambilan pekerja atau menutup operasi.

“Dasar gaji minimum perlu dirangka bersama dasar pekerjaan. Jika kita mahu gaji meningkat, kita juga mesti memastikan produktiviti meningkat,” katanya.

Ronnie berkata, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Gaji Progresif (PLWS) sudah menyediakan sebahagian asas untuk menghubungkan peningkatan gaji dengan produktiviti, namun dasar berkenaan perlu digabungkan dalam satu kerangka yang lebih menyeluruh.

“Kerajaan tidak hanya perlu menuntut perniagaan membayar gaji yang lebih tinggi, tetapi membantu mereka membina keupayaan untuk mampu membayar gaji yang lebih tinggi,” katanya.

Katanya, matlamat akhir bukan sekadar menetapkan angka gaji minimum RM3,100, sebaliknya mewujudkan ekonomi berproduktiviti tinggi yang membolehkan pekerja menjana nilai lebih tinggi dan seterusnya menerima pendapatan yang lebih baik.

“Peningkatan gaji adalah hasil, peningkatan produktiviti adalah penyelesaian asas,” katanya. – UTUSAN

The post Gaji RM3,100 percepat AI ganti pekerja appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved