
KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin kanan DAP, Ronnie Liu Tian Khiew mengumumkan penyertaannya dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM), tiga tahun selepas menamatkan keahliannya selama lebih empat dekad dalam DAP.
Ronnie yang bersama DAP selama lebih 41 tahun berkata, beliau memilih PBM selepas yakin dengan prinsip, visi dan misi parti itu yang memberi penekanan kepada khidmat kepada rakyat.
Beliau berkata, Malaysia tidak memerlukan lebih banyak pertelingkahan politik, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada usaha memperbaiki pentadbiran dan kehidupan rakyat.
“Kita tidak perlukan lebih banyak slogan kosong tetapi lebih banyak pelaksanaan yang konkrit. Bukan lebih banyak janji tetapi lebih banyak komitmen yang perlu ditunaikan.
“Selepas perbincangan mendalam bersama PBM, saya mendapati titik persamaan kami bukan kerana mempunyai latar belakang politik yang sama, tetapi kerana kami berkongsi hala tuju yang sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PBM, di sini hari ini.
Pada 2023, selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ronnie menamatkan keahliannya dalam DAP atas rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti serta beberapa pindaan perlembagaan yang disifatkannya tidak demokratik.
Ronnie yang juga bekas Exco Selangor pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran dari 2008 hingga 2013 sebelum kembali ke DUN sebagai wakil Sungai Pelek bagi penggal 2018 hingga 2023.
Sepanjang bersama DAP, beliau turut pernah memegang beberapa jawatan kanan parti termasuk sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
Mengulas lanjut, Ronnie berkata, PBM bukan sebuah parti yang ditubuhkan untuk kekal sebagai pembangkang selama-lamanya sebaliknya mempunyai prinsip untuk mengambil bahagian dalam pentadbiran negara.
“Bagaimanapun, PBM menyertai kerajaan bukan semata-mata untuk mendapatkan kuasa tetapi bagi meningkatkan kualiti pentadbiran. Kita boleh bersama kerajaan tetapi pada masa sama tetap menjalankan fungsi pemantauan.
“Pada hemat saya, inilah sikap matang yang diperlukan dalam politik demokrasi moden. Dengan menyertai PBM hari ini, saya mahu meneruskan sumbangan dalam politik negara.
“Saya berharap dapat menyumbangkan pengalaman yang dikumpulkan sepanjang empat dekad kepada PBM, negara dan generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Presiden PBM, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, penyertaan Ronnie membuka lembaran baharu buat PBM.
“Kami mengalu-alukan penyertaan Ronnie bukan kerana latar belakang parti politik beliau sebelum ini tetapi berdasarkan sumbangan yang mampu diberikan kepada negara.
“Sebuah parti politik yang matang tidak menuntut setiap ahlinya mempunyai latar belakang atau sejarah politik yang sama. Apa yang lebih penting adalah kami berkongsi visi dan hala tuju yang sama untuk masa depan,” katanya. –UTUSAN
The post Ronnie Liu sertai PBM selepas tiga tahun tinggalkan DAP appeared first on Utusan Malaysia.






