
KUALA LUMPUR: Kemerosotan sokongan terhadap DAP dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini adalah cerminan rasa tidak puas hati rakyat, khususnya masyarakat bukan Melayu, terhadap prestasi kerajaan semasa.
Bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu Tian Khiew berkata, ketidakpuasan hati itu adalah berpunca daripada kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan sebahagian janji dalam manifestonya dan pelaksanaan beberapa dasar yang tidak mendapat penerimaan umum.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan sebahagian penyokong PH memilih untuk tidak keluar mengundi, manakala sebahagian yang lain mula beralih dan memberikan sokongan kepada parti lain.
Katanya, berdasarkan pola peratusan keluar mengundi sejak PRN Sabah, Johor hingga Negeri Sembilan, lebih 40 peratus pengundi bukan Melayu dipercayai tidak menunaikan tanggungjawab mereka.
“Daripada 10 orang, kira-kira empat hingga lima orang bukan Melayu memilih untuk tidak keluar mengundi. Dalam kalangan mereka yang keluar mengundi pula, ada yang memilih DAP dan sebahagian lagi memberikan undi kepada MCA.
“Trend ini akan berterusan sekiranya tiada wadah atau parti baharu yang mampu menjadi pilihan kepada pengundi yang kecewa terhadap kerajaan semasa, tetapi pada masa sama masih belum dapat menerima kembali pentadbiran terdahulu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Bangsa Malaysia (PBM), di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan bertahan lama, malah mungkin terkubur sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurutnya, kerjasama BN-PN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan hanyalah satu bentuk langkah taktikal untuk menghadapi pilihan raya dan bukan bersifat kekal.
Katanya, ‘perceraian’ antara kedua-dua gabungan itu mungkin bermula seawal PRN Melaka kerana landskap politik negeri berkenaan berbeza berbanding Johor dan Negeri Sembilan.
“Situasi di Melaka berbeza dengan Johor dan Negeri Sembilan. Keadaannya tidak semudah itu, malah lebih rumit kerana PN dan BN masing-masing merasakan pengaruh mereka sama kuat.
“Jika tidak berhati-hati, ‘perceraian’ antara BN dan PN mungkin bermula seawal PRN Melaka,” katanya.
Ronnie berkata, kedua-dua gabungan itu akhirnya akan membawa haluan masing-masing pada PRU16 kerana bersaing mendapatkan sokongan daripada kelompok pengundi yang sama.
“Tidak mungkin mereka boleh terus bekerjasama. Pada PRU16, saya menjangkakan semua parti akan bertanding sesama sendiri,” katanya. –UTUSAN
The post Pengundi bukan Melayu mula tawar hati dengan DAP – Ronnie appeared first on Utusan Malaysia.






