Galeri Razak Sensei simbol keamanan, perkukuh hubungan pendidikan Malaysia-Jepun

9 Aug 2026 • 1:00 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Galeri Razak Sensei simbol keamanan, perkukuh hubungan pendidikan Malaysia-Jepun
Shikata (dua dari kanan), Tan Sri Dzulkifly (tiga dari kanan), Dr. Md Amin (kiri) dan Dr. Tajul (kanan) ketika melawat Galeri Razak Sensei pada Majlis Perasmian Galeri Razak Sensei, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM- Penubuhan Galeri Razak Sensei di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan sahaja mengabadikan legasi tokoh pendidik negara Datuk Abdul Razak Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Razak Sensei, malah menjadi simbol keamanan serta memperkukuh hubungan pendidikan dan kebudayaan antara Malaysia dengan Jepun.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Shikata Noriyuki berkata galeri berkenaan berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara melalui pendidikan, dialog antara budaya dan nilai kemanusiaan yang diperjuangkan oleh Razak Sensei.

Beliau berkata tarikh perasmian galeri itu turut membawa makna mendalam kerana berlangsung pada 6 Ogos, bertepatan ulang tahun ke-81 pengeboman atom di Hiroshima yang mengorbankan ribuan nyawa, termasuk menjadi detik bersejarah yang mengubah kehidupan Razak Sensei sebagai antara mangsa yang terselamat.

“Keajaiban beliau terselamat daripada tragedi Hiroshima serta keberanian beliau mengubah pengalaman pahit itu menjadi komitmen sepanjang hayat terhadap keamanan dan pendidikan merupakan teladan yang wajar dicontohi oleh kita semua.

“Kisah kehidupan beliau mengingatkan kita bahawa pendidikan jauh melangkaui penyampaian ilmu semata-mata. Pendidikan ialah suatu kuasa yang membentuk sahsiah, menyemai rasa saling menghormati serta membina masyarakat yang aman,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Galeri Razak Sensei di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, Khamis lalu.

Shikata berkata sekembalinya ke Tanah Melayu, Razak Sensei mendedikasikan seluruh kehidupannya kepada dunia pendidikan serta muncul sebagai antara perintis pendidikan bahasa Jepun dan pengajian Jepun di Malaysia.

Menurut beliau, sumbangan tokoh itu bukan sahaja melahirkan generasi pendidik dan memperkukuh hubungan akademik kedua-dua negara, malah turut menyumbang kepada pembentukan Dasar Pandang ke Timur yang sehingga kini kekal sebagai antara tonggak utama hubungan Malaysia-Jepun.

“Saya berharap para pelajar, pendidik, penyelidik dan pengunjung akan memperoleh inspirasi daripada galeri ini untuk terus menghargai pendidikan, dialog antara budaya dan nilai-nilai kemanusiaan, di samping memperluaskan lagi kerjasama antara Jepun dan Malaysia pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata penubuhan Galeri Razak Sensei merupakan hasil usaha berterusan universiti itu dalam mengangkat dan mendokumentasikan legasi tokoh berkenaan secara sistematik menerusi wacana intelektual, projek penyelidikan serta pemeliharaan bahan sejarah.

Dr. Md Amin berkata usaha tersebut bermula menerusi Wacana Intelektual Razak Sensei pada tahun 2015 dan diteruskan melalui pelbagai projek penyelidikan yang dilaksanakan di UPSI bagi memastikan sumbangan besar Razak Sensei dalam memperkukuh hubungan pendidikan dan kebudayaan antara Malaysia dan Jepun terus dikenang.

“Hasil daripada penyelidikan tersebut, Galeri Razak Sensei kini menghimpunkan sebanyak 525 koleksi yang terdiri daripada barangan peribadi, dokumen sejarah, gambar serta artifak berharga milik Allahyarham Razak Sensei.

“Setiap koleksi yang dipamerkan menyimpan nilai sejarah yang tersendiri serta menceritakan kisah keberanian, pengorbanan dan semangat juang yang luar biasa,” katanya.

Hadir sama waris Allahyarham, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Dzulkifly Abdul Razak; Pengarah Jabatan Strategik UPSI, Prof Dr Azmi Mohamed; Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Seri Ahmad Burak; Pengarah Institut Peradaban Melayu UPSI, Prof Dr. Tajul Shuhaizam Said serta 40 pelajar Pusat Bahasa Teikyo Kuala Lumpur.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved