Seminar Penyelidikan Kebangsaan 2026 perkasa integriti penyelidikan era digital

Business & Finance
2 Aug 2026 • 1:00 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Seminar Penyelidikan Kebangsaan 2026 perkasa integriti penyelidikan era digital
Barisan kakitangan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM – Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menganjurkan Seminar Penyelidikan Kebangsaan 2026 (SPK 2026) secara dalam talian dengan menghimpunkan pakar akademik, penyelidik, pelajar pascasiswazah dan pengamal industri bagi membincangkan isu penyelidikan beretika dan berintegriti dalam era disrupsi teknologi.

Mengangkat tema “Penyelidikan Beretika dan Berintegriti dalam Era Disrupsi Teknologi: Pendekatan Berteraskan Manusiawi dalam Inovasi Pendidikan dan Teknologi”, seminar yang berlangsung di Blok 10, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Kampus Sultan Azlan Shah itu menjadi platform strategik untuk perkongsian hasil penyelidikan, idea baharu dan amalan terbaik dalam pelbagai bidang.

Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor berkata, sepanjang 13 tahun penganjurannya, SPK telah berkembang menjadi platform kebangsaan yang menyatukan para sarjana serta merapatkan hubungan antara dunia akademik dan industri.

Beliau berkata, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan automasi menuntut benteng etika akademik yang kukuh bagi memastikan kemajuan teknologi dimanfaatkan secara bertanggungjawab tanpa meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan.

“Kita berada pada era di mana AI dan teknologi digital menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. Walaupun ia memudahkan capaian maklumat, cabaran etika mesti ditangani dengan teliti agar kemajuan ini tidak meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan,” katanya ketika merasmikan seminar berkenaan pada Khamis baru-baru ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pengucaptama dan penceramah yang berkongsi kepakaran serta pengalaman dalam memperkukuh integriti akademik dan membincangkan pendekatan praktikal dalam mendepani kemajuan teknologi semasa.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Prof. Madya Dr. Hartini Jaafar berkata fakulti komited menyokong aspirasi UPSI sebagai universiti bitara menerusi penghasilan penerbitan berimpak tinggi yang berteraskan integriti dan memberi manfaat kepada masyarakat.

SPK 2026 menampilkan Presiden Malaysian Institute of Accountants (MIA), Dato’ Saniza Said dan Dekan Fakultas Ekonomi dan Bisnis, Universitas Muhammadiyah Purwokerto, Indonesia, Profesor Dr. Naelati Tubastuvi sebagai pengucaptama.

Turut menjayakan seminar tersebut ialah Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Wahizatul Afzan Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif Neuramerge Sdn. Bhd., Puan Razlinda Rahmat yang berkongsi pandangan berkaitan penyelidikan dan inovasi dalam landskap pendidikan serta teknologi semasa.

Pengerusi SPK 2026, Prof. Madya Dr. Hazianti Abdul Halim berkata seminar itu diharapkan menjadi platform strategik bagi membincangkan isu semasa, berkongsi dapatan penyelidikan serta memperluas jaringan kerjasama antara akademia dan industri ke arah pembangunan masyarakat dan negara yang lestari.

Selain itu, seminar berkenaan turut memberi nilai tambah kepada pelajar pascasiswazah melalui peluang penerbitan artikel dalam jurnal berstatus MyCite bagi memenuhi keperluan pengajian.

Penganjuran SPK 2026 diharapkan dapat terus memperkukuh budaya penyelidikan dan penerbitan ilmiah berkualiti, di samping menyokong kecemerlangan UPSI dalam penarafan institusi pengajian tinggi seperti MYRA, SETARA dan QS Ranking.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved