Pada awal tahun ini, bongkah penyejukan prototaip untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090Ti telah diperlihatkan, dan ia merupakan sebuah gergasi yang memakan sehingga empat slot pengembangan PCIe dalam sebuah rangka komputer.

Kini, lebih banyak gambar bongkah penyejukan kad grafik tersebut diperlihatkan dan dibandingkan dengan rekaan kad grafik RTX 4090 Founders Edition yang sudahpun boleh dikatakan sangat besar. Perbezaan yang mungkin paling ketara dapat dilihat ialah penggunaan papan litar khusus untuk palam-palam output kad grafik tersebut, dan juga bongkah logam gergasi untuk menyejukkan komponen GPU dan juga VRAM pada kad grafik tersebut.

Prototaip penyejuk gergasi ini diperlihatkan pada laman web Goofish, yang mana para pengunjung boleh membeli komponen-komponen terpakai, dan terdapat juga ura-ura bahawa penyejuk ini digunakan sebagai prototaip untuk RTX 4090, RTX 4090Ti dan juga RTX Titan yang akan diperkenalkan oleh NVIDIA kelak.

Walaubagaimanapun, apa yang pasti ialah bongkah penyejukan ini nampaknya tidak akan digunakan pada mana-mana produk rasmi oleh NVIDIA, berkemungkinan kerana saiznya yang terlalu besar dan juga terlalu berat untuk kebanyakan papan induk dan rangka-rangka komputer kelas desktop.
- Sumber
- VideoCardz
