Gamis tuntut KPM dedah hasil siasatan kematian guru, bentang pelan pencegahan

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 1:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gamis tuntut KPM dedah hasil siasatan kematian guru, bentang pelan pencegahan
Siti Syakirah menyerahkan memorandum kepada pegawai KPM, Nasaruddin Rahmat di Putrajaya pada Jumaat.

PUTRAJAYA – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menuntut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan penjelasan berhubung hasil siasatan insiden kematian seorang guru wanita di sebuah sekolah di Hulu Selangor pada 30 Julai lalu.

Timbalan Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswi Gamis, Siti Syakirah Mohd Wahama berkata, KPM juga perlu membentangkan pelan tindakan pencegahan bagi memastikan risiko atau kelemahan sama tidak berulang.

“KPM tidak boleh sekadar bertindak setelah sesuatu krisis berlaku, sebaliknya perlu membina mekanisme yang mampu mengenal pasti risiko, mencegah kemudaratan dan memberikan intervensi sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada KPM pada Jumaat.

Menurutnya, hasil siasatan yang boleh didedahkan kepada umum perlu disampaikan secara telus dengan menghormati batas kerahsiaan serta proses perundangan.

Beliau berkata, sebarang kelemahan sistem yang dikenal pasti menerusi siasatan juga perlu disusuli tindakan pembetulan yang jelas selain langkah pencegahan jangka panjang.

Pada masa sama, Gamis menggesa KPM melaksanakan audit menyeluruh dan berasaskan data terhadap beban tugas guru merangkumi pengajaran, tugasan pentadbiran, dokumentasi, program serta arahan tambahan yang diterima warga pendidik.

“KPM perlu menilai secara menyeluruh beban pengajaran, tugasan pentadbiran, dokumentasi, program dan arahan tambahan yang diterima guru,” jelas beliau.

Siti Syakirah berkata, audit berkenaan penting bagi mengenal pasti pertindihan tugasan, arahan berlapis serta aktiviti yang kurang memberikan nilai kepada proses pendidikan.

Katanya, dapatan audit juga perlu diterbitkan dan langkah pengurangan beban ditetapkan berdasarkan keperluan sebenar di peringkat sekolah.

Selain itu, Gamis menuntut KPM mewujudkan mekanisme aduan dan pelaporan yang bebas, sulit serta selamat bagi membolehkan guru melaporkan isu kebajikan, beban tugas, tekanan kerja dan persekitaran pekerjaan.

Menurutnya, kerahsiaan identiti pengadu perlu dijamin selain perlindungan daripada tindakan balas atau prejudis yang boleh menjejaskan kerjaya.

“Setiap aduan tidak seharusnya berakhir sebagai rekod pentadbiran semata-mata,” ujar penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu.

Dalam pada itu, Gamis turut menggesa KPM mengadakan sesi libat urus bersama guru bagi mengenal pasti jurang antara dasar kementerian dengan realiti pengurusan di sekolah.

Siti Syakirah berkata, pandangan langsung daripada guru perlu dijadikan asas kepada reformasi pendidikan yang lebih holistik, berasaskan bukti dan mengutamakan kesejahteraan warga pendidik.

Gamis turut mahu sistem sokongan kesihatan mental, psikologi dan kebajikan guru diperkasa dengan memastikan perkhidmatan psikologi serta kaunseling mudah dicapai, sulit dan tidak menimbulkan kebimbangan terhadap implikasi kerjaya.

Katanya, mekanisme pengesanan awal dan intervensi terhadap guru yang berdepan risiko atau tekanan serius juga perlu diperkukuh.

Menurutnya, tuntutan itu penting susulan kesejahteraan warga pendidikan dan profesionalisme pendidik turut diletakkan sebagai sebahagian daripada agenda Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

“Kesejahteraan guru tidak boleh hanya menjadi objektif dalam dokumen strategik, sebaliknya mesti mempunyai sasaran, indikator dan mekanisme pemantauan yang jelas,” katanya.

Ujar mahasiswa itu, sistem pendidikan yang berkualiti tidak seharusnya hanya diukur melalui pencapaian murid, sebaliknya perlu mengambil kira sejauh mana keselamatan, maruah dan kesejahteraan guru dipelihara.

“Guru tidak seharusnya hanya dipertanggungjawabkan untuk membina masa depan negara, mereka juga berhak dilindungi oleh sistem yang sedang mereka bina,” katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved