Kumpulan mahasiswa mahu nasib, kebajikan guru lebih terbela

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 6:04 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kumpulan mahasiswa mahu nasib, kebajikan guru lebih terbela

PUTRAJAYA: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) hari ini mengemukakan lima tuntutan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkukuh kebajikan guru susulan beberapa insiden melibatkan keselamatan dan kebajikan pelajar di sekolah.

Timbalan Pengerusi Sigma Sinergi GAMIS, Siti Syakirah Mohd. Wahama berkata, pelbagai isu termasuk kes kematian, buli dan masalah sosial yang berlaku di sekolah perlu ditangani secara menyeluruh dengan mengambil kira peranan serta cabaran dihadapi guru sebagai pihak bertanggungjawab membimbing pelajar.

Beliau berkata, beban tugas guru ketika ini semakin meningkat apabila mereka bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran, malah dibebankan dengan pelbagai tugasan pentadbiran, dokumentasi dan pelaksanaan program di sekolah.

“Antara tuntutan termasuk memohon penjelasan terperinci berhubung hasil siasatan kes kematian pelajar yang berlaku baru-baru ini serta pembentangan pelan tindakan pencegahan bagi mengelakkan insiden sama berulang.

“Tuntutan kedua pula melibatkan pelaksanaan audit menyeluruh dan berasaskan data terhadap beban tugas guru termasuk tugas pentadbiran, dokumentasi dan program-program yang dilaksanakan di sekolah,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Ketua Seksyen Hal Ehwal Koporat, Unit Komunikasi Koporat KPM, Nasaruddin Rahmat di lobi KPM hari ini.

Katanya, GAMIS turut menuntut supaya diwujudkan mekanisme aduan dan pelaporan yang bebas, sulit serta selamat bagi membolehkan guru menyalurkan isu berkaitan kebajikan, tekanan kerja dan persekitaran pekerjaan tanpa rasa bimbang.

Selain itu, Siti Syakirah berkata, pihaknya juga mahu KPM memberi perhatian terhadap perlindungan identiti guru dalam isu-isu tertentu serta memastikan sesi libat urus yang lebih bermakna dilaksanakan bersama semua pihak berkepentingan sebelum sesuatu dasar pendidikan diumumkan.

“Amalan mengadakan perbincangan secara menyeluruh sebelum pelaksanaan dasar juga mampu membantu mengenal pasti cabaran di peringkat sekolah sekali gus memastikan keputusan yang dibuat lebih berkesan.

“Tuntutan kelima pula adalah memperkasa sistem sokongan kesihatan mental, psikologi dan kebajikan guru termasuk memperkukuh fungsi unit kaunseling sedia ada di sekolah,” katanya. – UTUSAN

The post Kumpulan mahasiswa mahu nasib, kebajikan guru lebih terbela appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved