Gamuda dijangka laksana pembangunan bercampur dengan GDV RM6 bilion di Chencharu Close

LocalBusiness & Finance
12 Sep 2025 • 11:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gamuda dijangka laksana pembangunan bercampur dengan GDV RM6 bilion di Chencharu Close

image is not available

12/09/2025 - 11:10

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Gamuda Berhad dijangka melaksanakan pembangunan bercampur berskala besar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM6 bilion di Chencharu Close, Singapura, kata penganalisis

.

RHB Research berkata, Gamuda bersama rakan usaha sama Evia MCS Pte Ltd dan H108 Pte Ltd muncul sebagai pembida tertinggi bagi tanah pajakan seluas 2.94 hektar dengan harga setinggi S$1.01 bilion (RM3.33 bilion).

Katanya, dengan kedudukan strategik berhampiran stesen Mass Rapid Transit (MRT) Khatib, tapak itu memiliki pajakan 99 tahun dan dijangka menghasilkan kira-kira 875 unit rumah persendirian.

"Menurut laporan Business Times, pembangunan tersebut berkemungkinan diintegrasikan dengan terminal bas dan pusat penjaja, sekali gus meningkatkan tarikan sebagai komuniti berorientasikan transit.

"Ia akan menjadi tapak jualan tanah kerajaan (GLS) pertama di Chencharu yang mengandungi komponen perumahan persendirian, sekali gus meletakkan Gamuda dan rakan usahanya dengan kelebihan sebagai peneraju awal di kawasan itu.

"Pembangunan ini dijangka dilancarkan sekitar tahun 2026, seiring dengan usaha berterusan Singapura untuk menambah bekalan perumahan serta membangunkan ruang komuniti bersepadu," katanya dalam satu nota kajian.

Ia merupakan kejayaan kedua melibatkan syarikat Malaysia dalam minggu sama, selepas Sunway Berhad dan rakan usahanya di Singapura berjaya memperoleh tapak kediaman di Chuan Grove dengan tawaran tertinggi berjumlah S$623.91 juta (RM2.05 bilion).

Gamuda akan membuat pengumuman lanjut sebaik sahaja menerima surat penerimaan daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Plot pegangan pajakan seluas 317,000 kaki persegi itu terletak di Chencharu Close, Yishun, sebuah kawasan perbandaran yang semakin mendapat perhatian untuk pembangunan semula kerana tahap keterhubungan dan potensi pertumbuhannya.

Sementara itu MBSB Research menjangkakan HDB akan menganugerahkan tender tersebut kepada usaha sama yang diterajui Gamuda, berasaskan tawaran harga tertinggi yang dikemukakan, iaitu +19.8% lebih tinggi berbanding pembida di tempat kedua.

Katanya, ia merupakan kesinambungan yang tepat pada masanya bagi kehadiran Gamuda dalam pasaran hartanah Singapura selepas menyiapkan projek OLA Residences tahun lalu.

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu diramal mencapai tempahan tertunggak antara RM40 bilion hingga RM45 bilion menjelang akhir tahun, dengan RM11 bilion hingga RM15 bilion kemenangan baharu dijangka diperoleh daripada projek pusat data, kerja tambahan bagi MRT Xizhi Donghu serta potensi projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di Australia.

"Terdapat juga kemungkinan pesanan variasi daripada projek terowong Sydney Metro West yang telah dihentikan selama dua bulan disebabkan kedudukan yang terlalu hampir dengan asas bangunan sedia ada.

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM6.35 sesaham," katanya.- DagangNews.com

standard