Gamuda terus agresif di Australia, raih kontrak bangunkan dua loji solar RM3 bilion

Business & FinanceEnvironment
20 May 2026 • 10:35 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gamuda terus agresif di Australia, raih kontrak bangunkan dua loji solar RM3 bilion Image from: Gamuda terus agresif di Australia, raih kontrak bangunkan dua loji solar RM3 bilion liza20/05/2026 - 10:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Mei – Gamuda Bhd memperoleh kontrak bernilai lebih RM3 bilion untuk membina dua loji janakuasa solar di Australia yang terus memperkukuh lagi kedudukan kumpulan itu dalam sektor tenaga boleh baharu antarabangsa.

 

Kontrak tersebut melibatkan pembangunan dua loji janakuasa solar iaitu Smoky Creek dan Guthrie’s Gap yang turut dilengkapi dengan sistem penyimpanan tenaga bateri berskala besar.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata kedua-dua projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh kira-kira dua setengah tahun selepas kerja pembinaan dimulakan.

 

“Selain kerja-kerja pembinaan, Gamuda turut bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan (O&M) bagi kedua-dua aset tersebut selepas ia mula beroperasi,” katanya.

 

Projek berkenaan disifatkan sebagai antara pembangunan hibrid solar dan bateri terbesar yang sedang dibina di Australia ketika ini.

 

Ia juga mampu menjana sehingga 720 megawatt (MW) tenaga elektrik serta kapasiti penyimpanan tenaga sehingga 2,400 megawatt-jam (MWh), menjadikannya antara projek tenaga berskala besar di rantau tersebut.

 

Gamuda berkata projek itu akan dilaksanakan melalui syarikat milik penuhnya di Australia, DT Infrastructure, yang sebelum ini juga terlibat dalam pelbagai projek infrastruktur tenaga di negara berkenaan.

 

Kontrak baharu ini menambah kepada senarai projek tenaga boleh baharu Gamuda yang semakin berkembang di Australia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Antara projek lain termasuk Ladang Solar Jinbi di Australia Barat yang berkapasiti 75 megawatt, serta beberapa projek tenaga lain seperti Marinus Link yang menghubungkan Tasmania dan Victoria melalui kabel dasar laut dan bawah tanah.

 

Turut berada dalam portfolio kumpulan ialah Carmody’s Hill Wind Farm, Goulburn River Solar Farm dan Boulder Creek Wind Farm.

 

Secara keseluruhan, Gamuda berkata ia kini mempunyai portfolio projek tenaga boleh baharu berkapasiti sekitar 4 gigawatt merangkumi solar berskala besar, tenaga angin, hidro serta sistem penyimpanan tenaga bateri di Malaysia dan Australia.

 

Perkembangan ini dilihat sebagai strategi jangka panjang Gamuda untuk memperkukuh kedudukan dalam industri tenaga bersih global yang semakin berkembang pesat.

 

Dalam masa sama, penglibatan dalam projek berskala besar di Australia juga dijangka menyumbang kepada aliran pendapatan berulang kumpulan melalui segmen pembinaan dan operasi jangka panjang.

 

Dengan perkembangan terbaharu ini, Gamuda terus mengukuhkan kehadirannya di pasaran antarabangsa dengan memperluaskan peranan dalam peralihan tenaga hijau global. - DagangNews.com

Terkini standard