hamden10/09/2026 - 10:29 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept - Gangguan bekalan arang batu di Indonesia susulan faktor cuaca dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap prospek Malayan Cement Bhd serta harga sahamnya, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, kekurangan itu masih boleh diuruskan menerusi beberapa langkah termasuk mengunci harga dan langkah penjimatan operasi lain.
"Kesannya masih boleh diuruskan bagi Malayan Cement," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata kebimbangan pelabur terhadap gangguan laluan utama pengangkutan arang batu menggunakan tongkang di Indonesia, selain ketegangan yang kembali memuncak di Timur Tengah, mungkin telah memberi tekanan kepada saham Malayan Cement.
Bagaimanapun, CIMB berpandangan kesan susulan daripada gangguan bekalan arang batu di Indonesia terhadap Malayan Cement kekal terkawal.
Malah, harga penanda aras terkini bagi arang batu gred rendah dan sederhana di Indonesia masing-masing susut 1.1% dan 1.9% secara separuh ke separuh (HOH) pada separuh pertama September 2026.
Tambah firma itu lagi, Malayan Cement telah mengunci bekalan arang batu sehingga November 2026, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan akibat cuaca di Indonesia.
Harga spot arang batu gred sederhana ketika ini sebanyak US$83 satu tan juga masih di bawah unjuran firma itu sebanyak US$90 satu tan bagi FY2027-FY2028.
"Keadaan itu memberikan margin keselamatan terhadap andaian kos Malayan Cement, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap tekanan kos akibat gangguan bekalan," katanya.
Selain itu, sebarang kenaikan harga arang batu juga berkemungkinan dihadkan oleh permintaan lebih lembut dari China dan India, memandangkan kedua-dua negara mempelbagaikan sumber bekalan kepada Rusia, Afrika Selatan dan Australia.
Harga simen stabil
Dalam pada itu, harga simen tempatan dijangka kekal stabil bagi baki 2026, selepas berada dalam julat sempit RM25.30 hingga RM25.95 setiap beg sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.
CIMB Securities berkata jangkaan itu turut sejajar dengan maklum balas daripada pemain sektor pembinaan dan hartanah yang tidak menjangkakan perubahan besar dalam harga simen bagi baki tahun ini, dengan syarat harga minyak kekal stabil.
Pada masa sama, Malayan Cement telah memulakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kecekapan operasi serta penggunaan bahan api dan bahan alternatif bagi mengoptimumkan kos pengeluaran.
CIMB menjangkakan keuntungan bersih teras Malayan Cement meningkat daripada RM918 juta pada FY2026 kepada RM950 juta pada FY2028.
Hasil dividen pula diunjurkan meningkat daripada 2.7% pada FY2026 kepada 3.6% pada FY2028, manakala gear bersih dijangka bertambah baik daripada 12.3% pada Jun 2026 kepada kedudukan tunai bersih menjelang FY2028.
Mengambil kira kedudukan dominan Malayan Cement dalam pasaran, kunci kira-kira yang kukuh serta prospek pendapatan yang lebih baik, CIMB mengekalkan saranan "beli" terhadap saham syarikat itu dengan sasaran harga RM8.50.
Sasaran tersebut menawarkan potensi kenaikan sekitar 55% berbanding harga saham semasa RM5.48.
Malayan Cement kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY2027-FY2028 sebanyak 11 hingga 12 kali dan satu kali nilai buku sesaham (PBV) FY2026.
CIMB berkata penilaian itu mencerminkan diskaun yang tidak wajar, memandangkan kedudukan pasaran dan kekuatan kewangan Malayan Cement.
Penarafan konsensus pula menunjukkan enam saranan "beli", satu "pegang" dan tiada saranan "kurang", menunjukkan sokongan meluas penganalisis terhadap saham tersebut. - DagangNews.com






