LSS6: Samaiden beli tanah tingkatkan peluang raih projek, menurut JF Apex Securities

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 10:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LSS6: Samaiden beli tanah tingkatkan peluang raih projek, menurut JF Apex Securities Image from: LSS6: Samaiden beli tanah tingkatkan peluang raih projek, menurut JF Apex Securities hamden09/09/2026 - 10:46 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Sept - Samaiden Group Bhd menyasarkan untuk meraih kira-kira 20% bahagian pasaran di bawah program Solar Skala Besar (LSS6), dengan peluang pembangunan projek solar berkapasiti 2,500MW bersama 1,250MW sistem penyimpanan tenaga dilihat sebagai pemangkin utama pertumbuhan kumpulan dalam tempoh terdekat.

 

JF Apex Securities berkata keyakinan itu hadir ketika Samaiden berada pada kedudukan lebih baik untuk merebut peluang baharu dalam sektor tenaga boleh baharu (TBB), khususnya apabila keperluan tanah dan sambungan grid yang lebih ketat bagi LSS6 dijangka memihak kepada pemain berpengalaman dengan rekod pelaksanaan kukuh.

 

Penganalisis berkata, sasaran 20% bahagian pasaran itu turut disokong langkah Samaiden mendapatkan tanah di kawasan selatan sebagai persediaan awal bagi program LSS6.

 

Kumpulan juga berhasrat mengambil bahagian dalam projek LSS6 menerusi kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), selain pemilikan aset secara terpilih.

 

"Pengurusan menyasarkan kira-kira 20% bahagian pasaran LSS6, manakala pengetatan keperluan tanah dan sambungan grid berpotensi memihak kepada pemain sedia ada seperti Samaiden," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Margin kekal tinggi

Lebih menarik, kelebihan Samaiden tidak hanya terletak pada prospek kontrak baharu kerana margin keuntungan yang tinggi dijangka terus bertahan dalam tempoh dua hingga tiga suku akan datang.

 

Menurut penganalisis, margin tinggi itu disokong modul solar yang telah diperoleh pada harga sebelum penghapusan rebat, selepas kumpulan membuat persediaan stok panel bagi projek yang sedang dilaksanakan.

 

Keadaan tersebut dijangka memberi ruang kepada Samaiden mengekalkan margin pada paras tinggi sebelum ia kembali normal apabila harga modul meningkat susulan tekanan kos silika dan bahan mentah.

 

Harga panel dijangka meningkat sekitar 5% hingga 10%, yang berpotensi menyebabkan margin kembali ke paras lebih normal mulai tempoh berikutnya.

 

Prestasi kewangan terkini turut memberikan gambaran mengenai momentum operasi kumpulan apabila keuntungan bersih teras FY26 meningkat 65.3% tahun ke tahun kepada RM36.0 juta.

 

Hasil 4QFY26 pula melonjak 55.8% suku ke suku kepada RM105.7 juta, didorong kemajuan projek LSS5 daripada peringkat penyediaan tapak kepada kerja pembinaan utama.

 

Buku Tender RM3.5 bilion

Momentum kontrak Samaiden juga kekal kukuh dengan buku tender semasa bernilai RM3.5 bilion, yang mana 80% daripadanya terdiri daripada projek berskala utiliti.

 

Daripada projek berskala utiliti itu, CRESS menyumbang kira-kira 70%, manakala EPCC LSS5+ membentuk sekitar 10%. Ini menjadikan peluang CRESS dianggarkan bernilai kira-kira RM2 bilion atau 56% daripada keseluruhan buku tender kumpulan.

 

Pemberian kontrak CRESS masih dalam rundingan, dengan pihak pengurusan mengambil pendekatan selektif dalam menentukan projek yang sesuai dilaksanakan menerusi model pemilikan aset atau EPCC.

 

Sementara itu, buku tempahan tertunggak yang belum dibilkan berjumlah RM435.8 juta setakat 30 Jun 2026 dan dijangka diiktiraf secara berperingkat sepanjang FY27 dan FY28.

 

Jumlah tersebut meletakkan Samaiden pada landasan untuk mencapai sasaran buku tempahan RM1 bilion bagi FY27.

 

Dalam jangka lebih panjang, pertumbuhan Samaiden turut dijangka disokong peningkatan sumbangan aset tenaga boleh baharu milik sendiri.

 

Aset tenaga baharu

Kapasiti penjanaan aset kumpulan kini berjumlah 210MWac, dengan projek CGPP berkapasiti 29.99MW yang hampir siap dan dijangka mula menyumbang pada suku berikutnya.

 

Pihak pengurusan menyasarkan aset milik sendiri menyumbang kira-kira 10% daripada hasil kumpulan dalam jangka panjang, sekali gus menyediakan aliran pendapatan berulang yang lebih stabil selain perniagaan EPCC.

 

Susulan prospek yang lebih kukuh, JF Apex Securities menaikkan anggaran keuntungan bersih teras FY27F dan FY28F masing-masing sebanyak 69% dan 66% kepada RM55.0 juta dan RM54.7 juta, selain memperkenalkan anggaran FY29F sebanyak RM58.7 juta.

 

Sasaran harga Samaiden turut dinaikkan kepada RM2.41 daripada RM1.74 berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP), manakala saranan 'BELI' dikekalkan.

 

Penilaian itu mengambil kira perniagaan EPCC pada gandaan P/E sasaran 30 kali anggaran pendapatan FY28F serta nilai portfolio aset tenaga boleh baharu berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF), selain penarafan ESG tiga bintang tanpa premium.

 

Penganalisis berkata, Samaiden kekal menjadi pilihan berikutan rekod pelaksanaan kukuh dalam projek solar dipasang di atas tanah, buku tender yang banyak tertumpu kepada CRESS menjelang penukaran kepada LSS6 serta perniagaan biotenaga yang memberikan kelebihan berbanding kontraktor solar lain. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved