liza13/11/2026 - 15:48 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov – Gangguan global perkhidmatan Microsoft 365 yang menjejaskan pengguna di seluruh dunia berpunca daripada masalah teknikal dan infrastruktur, bukannya serangan siber, menurut Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
NACSA dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya berkata, berdasarkan maklumat semasa, Microsoft mengesahkan tiada bukti menunjukkan gangguan berkenaan berpunca daripada serangan siber.
Sebaliknya, maklumat daripada status kesihatan perkhidmatan Microsoft (Microsoft Service Health Status) menunjukkan gangguan itu disebabkan ketidakseimbangan pengurusan trafik pada infrastruktur syarikat berkenaan.
Gangguan yang dilaporkan bermula sekitar 2 pagi waktu Malaysia itu menjejaskan akses kepada pelbagai perkhidmatan Microsoft 365 yang mengganggu operasi perniagaan dan pelbagai organisasi di seluruh dunia.
Antara perkhidmatan yang terjejas ialah Outlook, Microsoft 365 Copilot dan Microsoft Defender XDR, manakala pengguna turut melaporkan masalah mengakses beberapa aplikasi lain dalam ekosistem Microsoft.
E-mel antara perkhidmatan paling terjejas
NACSA memaklumkan perkhidmatan yang paling terkesan ialah aplikasi dan sistem yang bergantung kepada e-mel yang mengganggu urusan komunikasi serta operasi harian organisasi.
Bagaimanapun, Microsoft Teams dan SharePoint dilaporkan telah kembali beroperasi ketika NACSA mengeluarkan maklumat berkenaan.
Laman pemantauan gangguan perkhidmatan Downdetector turut menerima lebih 200,000 laporan pengguna berhubung masalah akses kepada pelbagai produk Microsoft yang terjejas.
Dalam perkembangan sama, Microsoft menerusi laman status perkhidmatannya memaklumkan usaha pemulihan masih dijalankan bagi mengembalikan operasi perkhidmatan yang terjejas.
Kemas kini sekitar 12.30 tengah hari waktu Malaysia menyatakan gangguan itu turut melibatkan Outlook.com, OneDrive, OneNote, Microsoft To Do, Teams dan Microsoft 365 versi web, selain kemungkinan masalah pada perkhidmatan Microsoft 365 yang lain.
Microsoft mengklasifikasikan insiden berkenaan sebagai kemerosotan perkhidmatan (service degradation), dengan usaha pemulihan masih berlangsung.
Agensi kerajaan diminta periksa perkhidmatan terjejas
Sementara itu, NACSA menasihatkan semua agensi kerajaan dan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) supaya menyemak status perkhidmatan yang terjejas serta memastikan pemantauan keselamatan siber tidak terganggu.
Agensi berkenaan turut meminta organisasi berkenaan mengikuti perkembangan terkini yang disampaikan Microsoft menerusi laman status perkhidmatannya.
Sebarang gangguan yang menjejaskan operasi organisasi juga perlu dilaporkan melalui saluran pelaporan yang tersedia.- DagangNews.com



