
KUALA LUMPUR: Gangguan perkhidmatan Microsoft 365 yang berpotensi menjejaskan pengguna di seluruh dunia termasuk Malaysia disahkan berpunca daripada masalah teknikal dan bukan serangan siber.
Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dalam menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan, gangguan itu membabitkan aplikasi utama iaitu Outlook, Teams, SharePoint, Microsoft 365 Copilot dan Defender XDR.
“Berdasarkan maklumat semasa, gangguan ini lebih cenderung berpunca daripada isu teknikal atau infrastruktur dan bukan serangan siber,” menurut hantaran itu.
Sehubungan itu, Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara (NC4) di bawah NACSA menyarankan semua agensi kerajaan dan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) supaya menyemak status perkhidmatan masing-masing yang terjejas.
“Semua pihak berkaitan diminta memastikan pemantauan keselamatan siber tidak terganggu dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini daripada Microsoft,” menurut hantaran itu.
NACSA juga meminta sebarang gangguan terhadap operasi organisasi dilaporkan segera melalui saluran pelaporan sedia ada. – BERNAMA
The post Gangguan Microsoft 365 masalah teknikal, bukan serangan siber – NACSA appeared first on Utusan Malaysia.



