
KUALA LUMPUR - Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam aduan gangguan seksual melibatkan mangsa lelaki, dengan lebih 1,000 laporan diterima melalui saluran aduan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sejak 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peningkatan jumlah itu mencerminkan trend yang turut direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut beliau, ia turut menunjukkan kejayaan kempen advokasi di seluruh negara yang menggalakkan mangsa untuk tampil membuat laporan.
Beliau berkata antara aduan diterima melibatkan mangsa lelaki termasuk insiden sentuhan fizikal yang tidak diingini serta sentuhan tanpa kebenaran.
“Sebagai contoh, terdapat satu kejadian di sebuah kompleks beli-belah, seorang mangsa lelaki didatangi secara tiba-tiba dan disentuh dari belakang oleh seorang jurujual lelaki ketika mangsa sedang menuju ke bilik persalinan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No to Sexual Harassment” di sini hari ini.
Nancy berkata, kementerian melihat peningkatan jumlah laporan itu sebagai petunjuk bahawa masyarakat semakin sedar tentang hak mereka dan lebih berani mendapatkan bantuan berbanding berdiam diri.
Beliau turut mengulas satu kes gangguan seksual berasingan melibatkan seorang Ketua Polis Daerah di Sarawak, dan memaklumkan bahawa kes tersebut masih dalam siasatan polis.
“Pihak kementerian memuji keberanian pegawai yang tampil membuat laporan, dan kami akan terus memantau perkembangan kes ini dengan teliti,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy menegaskan, keluarga perlu mengambil serius sebarang aduan atau luahan emosi daripada kanak-kanak, khususnya dalam kes yang melibatkan individu rapat dengan keluarga.
“Kita mesti sentiasa mendengar mereka kerana kanak-kanak kadangkala terlalu takut untuk bercakap dengan ibu bapa dan adik-beradik kerana bimbang dituduh mereka cerita.
“Melalui program advokasi yang dijalankan, kanak-kanak kini semakin memahami hak mereka. Ada juga yang mula mencari saluran alternatif untuk membuat aduan, termasuk menghubungi Talian Kasih 15999 atau menggunakan teknologi moden seperti kecerdasan buatan dan ChatGPT untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Terdahulu ketika berucap, Nancy mendedahkan, sebanyak 92 aduan telah difailkan kepada Tribunal Anti-Gangguan Seksual (TAGS) sehingga 26 April, dengan 69 kes berjaya diselesaikan.
Beliau berkata, angka tersebut menunjukkan keberkesanan tribunal dalam mempercepatkan akses kepada keadilan bagi mangsa.
Pada masa sama, statistik PDRM menunjukkan kes gangguan seksual di seluruh negara meningkat ketara daripada 477 kes pada tahun 2022 kepada 1,038 pada tahun 2025.
“Trend ini amat membimbangkan dan perlu ada penguatkuasaan yang lebih tegas, peningkatan kesedaran awam, serta usaha bersepadu masyarakat bagi membanteras gangguan seksual dalam semua bentuk,” katanya. - Getaran, 19 Mei 2026





