
PETALING JAYA: Pelayar berpengalaman negara, Khairulnizam Mohd Afendy menganggap pingat gangsa acara dinghy lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai pencapaian cukup bermakna selepas bangkit daripada masalah kecederaan dan pembedahan slipped disc.
Khairulnizam, 33, menamatkan saingan di tempat ketiga daripada 18 peserta dengan mengumpul 14 mata untuk menghadiahkan pingat ketiganya pada temasya Sukan Asia.
Pelayar Korea Selatan, Ha Jee Min meraih emas dengan sembilan mata, manakala Nicholas Bezy dari Hong Kong membawa pulang perak selepas mengumpul 11 mata.
Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas Khairulnizam menjalani pembedahan awal tahun ini dan terpaksa berehat selama enam bulan sebelum hanya mempunyai kira-kira tiga bulan untuk membuat persiapan intensif menghadapi Sukan Asia.
“Syukur alhamdulillah kerana berjaya mendapat tempat ketiga. Pingat gangsa ini ibarat saya memenangi emas kerana pada awal tahun ini saya menjalani pembedahan akibat slipped disc.
“Saya mengalami kecederaan itu sejak tahun lalu, tetapi membuat keputusan menjalani pembedahan selepas Sukan SEA.
“Saya perlu berehat selama enam bulan dan hanya mempunyai tiga bulan untuk membuat persiapan intensif sebelum Sukan Asia,” katanya.
Khairulnizam berkata dia tidak meletakkan sasaran tinggi sebelum pertandingan kerana menyedari persiapannya tidak sebaik beberapa pencabar, namun pengalaman yang dimiliki membantu dirinya kembali ke podium selepas lapan tahun.
“Saya datang ke sini ibarat dilahirkan semula. Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana tahu persiapan saya tidak sehebat mereka, tetapi saya tahu saya mempunyai pengalaman.
“Saya gunakan pengalaman itu sebaik mungkin dan alhamdulillah, selepas lapan tahun, saya kembali menjejakkan kaki ke podium,” katanya.
Pingat gangsa itu melengkapkan koleksi tiga pingat Sukan Asia buat Khairulnizam selepas memenangi dua perak pada edisi Incheon 2014 dan Jakarta-Palembang 2018.
Selepas kejayaan di Nagoya, Khairulnizam kini menyasarkan untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028). – UTUSAN
The post Gangsa ibarat emas – Khairulnizam appeared first on Utusan Malaysia.






