USIA hanya angka buat Datuk Mohd Azizulhasni Awang apabila pelumba berbasikal trek negara itu terus membuktikan kemampuan bersaing di pentas tertinggi dengan menghadiahkan emas dan gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Lebih bermakna, kejayaan itu dipersembahkan khas buat seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan serta kepercayaan kepadanya sepanjang karier.
Menerusi hantaran di media sosial, Azizulhasni menyifatkan dua pingat yang diraihnya itu sebagai kejayaan milik bersama rakyat Malaysia.
"Emas dan gangsa. Kejayaan ini adalah milik seluruh rakyat Malaysia.
"Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan daripada semua," catat beliau menerusi perkongsian di Facebook.
Pencapaian di Aichi-Nagoya melengkapkan rentetan prestasi cemerlang Azizulhasni tahun ini selepas turut meraih emas pada Piala Dunia di Perth, Australia dan Nilai, sebelum meneruskan momentum di Sukan Komanwel.
Pada usia 38 tahun, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu masih mampu memberikan saingan kepada barisan pelumba lebih muda, sekali gus membuktikan pengalaman menjadi antara kekuatan utamanya.
Konsistensi tersebut turut memperlihatkan ketahanan dan disiplin tinggi Azizulhasni untuk kekal kompetitif di pentas antarabangsa, selain terus menjadi antara sandaran penting skuad berbasikal trek negara.






