Gara-gara Bergaduh Dengan Bekas Isteri, Bapa P*kul Anak Sampai Lebam

Entertainment
17 Jul 2025 • 4:59 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang lelaki dari Tawau, Sabah ditahan oleh pihak polis selepas disyaki memukul anak perempuannya yang berusia 14 tahun sehingga mengalami kecederaan dan trauma, ia dikatakan berpunca daripada perselisihan faham dengan bekas isteri.

Suspek yang berusia 42 tahun itu telah ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 8.30 malam semalam berikutan dengan laporan polis yang dibuat oleh bekas isteri pada hari yang sama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh pasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 9.30 pagi Isnin lalu di rumah nenek mangsa, tempat gadis itu kini menetap. Suspek dikatakan memukul mangsa menggunakan objek keras pada bahagian telinga kiri dan seluruh badan.”

“Akibatnya, mangsa mengalami lebam di seluruh badan dan trauma. Dia kemudian menghubungi ibunya di Kota Kinabalu untuk memaklumkan perkara tersebut.”

Kata Champin, motif kejadian itu tercetus apabila wujudnya pertikaian antara suspek dan bekas isterinya, difahamkan ia berkaitan dengan satu tuduhan yang dilemparkan di hadapan anak mereka.

Bertindak atas laporan, pihak polis telah berjaya memberkas suspek kurang dari 24 jam.

image is not available

“Turut dirampas, satu gulung plastik berwarna kelabu yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.”

Hasil semakan polis mendapati bahawa suspek mempunyai dua kesalahan lampau di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan, dan pernah disabitkan serta dijatuhkan hukuman.

Sehubungan itu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian dan pendedahan terhadap kanak-kanak di mana suspek boleh berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.