Gara-gara Salah Pasang Penapis Air, Hati Wanita Rosak Sebab Minum Air Sisa Buangan

Entertainment
28 Mar 2025 • 12:45 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang wanita dari Shanghai kini menderita masalah kerosakan hati apabila selama 5 tahun ini dia meminum air sisa buangan kerana kesilapan pemasangan penapis air oleh pekerja syarikat terkemuka.

Wanita yang dikenali sebagai Liu ini mula menyedarinya pada beberapa minggu lalu setelah dia membeli alat penguji kualiti air.

Disebabkan itu, dia mendapati bahawa kualiti air yang keluar daripada penapisnya itu lebih teruk daripada air paip biasa. Berdasarkan alat penguji tersebut, bacaan jumlah pepejal terlarut (TDS) dalam air dari penapis itu adalah 600, lebih dua kali ganda berbanding air paip.

Melihat keputusan tersebut ia sekaligus menimbulkan kebimbangan Liu tentang kualiti air yang diminumnya selama ini. Malah, Liu memeriksa pemasangan paip di belakang penapis airnya dan mendapati bahawa paip tersebut telah disambung secara terbalik.

Ia menyebabkan air yang telah ditapis dilepaskan ke dalam saliran sementara air buangan yang sepatutnya dibuang itu telah disalurkan ke paip air utama yang digunakannya untuk minuman kegunaan harian.

image is not available

Menurut Liu, dia mengalami gangguan haid sejak 6 bulan lalu dan pemeriksaan doktor sebulan lalu mengesahkan bahawa terdapat sedikit kerosakan pada hatinya.

“Saya takut air buangan itu mengandungi banyak bahan kimia yang mungkin memberi kesan buruk kepada kesihatan saya.”

Namun begitu, Liu akui bahawa masih tiada bukti kukuh untuk kaitkan masalah kesihatannya dengan kes penapis air. Malah, ada seorang pekerja dari syarikat penapis air tersebut datang ke rumahnya dan mengesahkan berlaku kesilapan pemasangan dan berkata syarikat itu bersetuju untuk menukar elemen penapis air tersebut.

Dalam pada itu, pekerja yang dikenali sebagai Zhang itu turut memaklumkan bahawa pekerja yang melakukan pemasangan 5 tahun lalu telah berhenti kerja dan tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.

Liu bagaimanapun tidak menerima tawaran syarikat penapis air tersebut yang hanya mahu menukar elemen penapis air kerana baginya, kerosakan yang dialami bukan sekadar pada alat itu tetapi juga melibatkan kesihatannya.

Sumber : Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.