Garmin melancarkan beberapa model baharu dalam siri jam tangan pintar Forerunner termasuk Forerunner 570 dan Forerunner 970. Walaupun berada dalam siri yang sama, kedua-duanya menampilkan keunikan tersendiri dengan ciri utama yang berbeza.

Dari segi reka bentuk, Forerunner 570 dilengkapi dengan bezel aluminium serta skrin berukuran 1.2 inci bagi model 42mm dan 1.4 inci bagi model 47mm. Sebaliknya, Forerunner 970 hanya tersedia dalam satu saiz, iaitu 47mm. Forerunner 570 mempunyai berat 50g, manakala Forerunner 970 sedikit lebih berat pada 56g.
Bateri Forerunner 570 (47mm) mampu bertahan sehingga 10 hari dalam mod jam tangan pintar dan 13 jam dalam mod GPS. Untuk model 42mm, baterinya bertahan sehingga 13 hari dalam mod jam tangan pintar dan 14 jam dalam mod GPS. Sementara itu, Forerunner 970 menawarkan ketahanan bateri lebih lama, iaitu sehingga 15 hari dalam mod jam tangan pintar dan 21 jam dalam mod GPS.

Dari segi fungsi, kedua-dua model dilengkapi dengan pembesar suara dan mikrofon untuk kemudahan panggilan suara. Selain itu, ia menyokong pemantauan kesihatan dan kecergasan, termasuk pelan latihan Triathlon Coach, senaman multisukan tersesuai, pemantauan suhu kulit serta ramalan garisan penamat.
Namun begitu, Forerunner 970 mempunyai beberapa kelebihan tambahan seperti pemantauan ECG melalui aplikasi serta lampu subuh terbina dalam. Harga bagi Forerunner 570 ialah RM2,399 manakala Forerunner 970 berharga RM3,269. Kedua-dua model dijangka mula tersedia pada 18 Jun 2025.
