liza19/11/2026 - 11:50 Menerusi Program Sandbox AI PIKOM–GBS Malaysia itu, syarikat terpilih berpeluang menguji penyelesaian AI berdasarkan keperluan operasi masing-masing dengan sokongan penyedia teknologi yang dikenal pasti Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov – GBS Malaysia menyasarkan untuk memberi peluang kepada 50 syarikat dalam program penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang menawarkan percubaan penyelesaian teknologi itu secara percuma selama tiga bulan bagi membantu perniagaan menilai manfaatnya sebelum membuat pelaburan jangka panjang.
Menerusi Program Sandbox AI PIKOM–GBS Malaysia itu, syarikat terpilih berpeluang menguji penyelesaian AI berdasarkan keperluan operasi masing-masing dengan sokongan penyedia teknologi yang dikenal pasti.
Program itu memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu pengalaman pelanggan, perkhidmatan perkongsian teknologi maklumat (IT), operasi kewangan serta automasi umum yang melibatkan pelbagai proses perniagaan.
Antara penggunaan yang dikenal pasti termasuk meningkatkan kecekapan menjawab pertanyaan pelanggan, sokongan IT, penyediaan laporan, penyelarasan akaun, pemprosesan dokumen serta automasi tugasan pentadbiran berulang.
Enam penyedia teknologi terlibat
Enam penyedia perkhidmatan teknologi menyertai program berkenaan iaitu Daythree AI Labs, Grafilab, Revolab.ai, Sabah Net, SHRDC dan Talbotiq Technologies.

Kepakaran penyedia terbabit merangkumi ejen suara AI, risikan operasi, penyelesaian AI persendirian, automasi serta pembangunan tenaga kerja.
Pengerusi GBS Malaysia, Datuk Raymond Davadass berkata, inisiatif itu mencerminkan keperluan industri untuk bergerak melangkaui kecemerlangan operasi dan memainkan peranan lebih strategik dalam menyelesaikan cabaran perniagaan.
Beliau berkata, penggunaan teknologi perlu dinilai berdasarkan nilai perniagaan yang mampu dihasilkan dan bukannya jumlah penyelesaian AI yang dilaksanakan sesebuah organisasi.
"AI bukan strategi kita. AI ialah pemudah cara kepada strategi kita. Matlamatnya bukan berapa banyak AI yang kita gunakan, tetapi berapa banyak nilai perniagaan yang mampu kita hasilkan," katanya.

Pelaburan industri GBS meningkat 13.5 kali kepada RM9.87 bilion
Program itu diumumkan pada GBS Global Summit 2026 yang diadakan sempena ulang tahun ke-20 GBS Malaysia dengan penyertaan kira-kira 1,000 delegasi dari lebih 35 negara selain menampilkan lebih 45 penceramah, lebih 40 reruai pameran dan 75 rakan sokongan.
Menurut Laporan Pertengahan Strategi GBS Malaysia 2022–2027 yang diterbitkan pada 2025, industri perkhidmatan perniagaan global (GBS) Malaysia merekodkan 749 entiti, meningkat 66.8% berbanding paras asas.
Pelaburan industri itu turut meningkat 13.5 kali ganda daripada RM730 juta pada 2021 kepada RM9.87 bilion pada 2024.
Selain itu, sektor berkenaan mewujudkan 36,626 pekerjaan sejak 2021 sehingga pertengahan 2025, manakala hasil pasaran GBS dianggarkan berjumlah RM28.14 bilion pada 2025.
Raymond berkata, industri GBS telah membuktikan keupayaannya dalam menyediakan kecemerlangan operasi sepanjang 20 tahun pertama, namun fasa seterusnya memerlukan peranan yang lebih strategik dalam ekosistem perniagaan global.
Beliau berkata, kerjasama antara industri, kerajaan, institusi akademik dan penyedia teknologi penting bagi meningkatkan daya saing Malaysia serta menyokong mandat perniagaan serantau dan global yang semakin kompleks.

Pembangunan kemahiran tenaga kerja jadi keutamaan
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM), Profesor Adjung Alex Liew berkata, industri GBS Malaysia perlu memberi tumpuan kepada tiga keutamaan iaitu meningkatkan penyediaan perkhidmatan bernilai tinggi, membantu tenaga kerja berkembang seiring perubahan industri menerusi pembangunan kemahiran serta menjadikan kerjasama sebagai kelebihan daya saing.
Beliau berkata, keyakinan syarikat antarabangsa untuk menempatkan operasi perkhidmatan global di Malaysia bergantung kepada keseluruhan ekosistem termasuk tenaga kerja, infrastruktur, penyedia teknologi dan institusi.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Selangor, Ng Sze Han yang merasmikan sidang kemuncak itu berkata, industri GBS akan terus berkembang seiring penggunaan AI, automasi dan teknologi digital.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan sektor swasta menerusi penyediaan infrastruktur, pembangunan bakat serta persekitaran mesra perniagaan bagi menyokong pertumbuhan syarikat.
GBS Malaysia turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan Cyberview serta melancarkan laporan sintesis yang disediakan Cyberview dengan kerjasama badan industri berkenaan.
Sidang kemuncak itu turut membincangkan transformasi perusahaan, keupayaan tenaga kerja, keselamatan siber, penggunaan AI secara bertanggungjawab dan pelaburan global, selain keperluan meningkatkan kemahiran semula pekerja serta menyesuaikan peranan mereka dengan perubahan keperluan pekerjaan. - DagangNews.com






