
KUALA LUMPUR- Rapid KL terus memperluas pilihan perjalanan tanpa had menerusi pengenalan pas Rapid Kembara dengan menawarkan pas baharu selama tujuh tujuh hari sempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.
Selain kemudahan perjalanan, pemegang pas Rapid Kembara juga bakal menikmati diskaun dan tawaran istimewa antara 10 hingga 50 peratus meliputi lebih 40 rakan strategik.
Tawaran istimewa rakan strategik itu merangkumi empat kategori iaitu tarikan pelancongan, makanan dan minuman (F&B) selain gaya hidup serta perkhidmatan, seterusnya membolehkan pelancong
menikmati pelbagai pengalaman tempatan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dr. Prodyut Dutt berkata, tawaran itu bukan sekadar memudahkan pelancong domestik dan antarabangsa meneroka destinasi sekitar Lembah Klang, malah menggalakkan kunjungan ke premis perniagaan tempatan.
“Secara tidak langsung, inisiatif ini turut merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui
perbelanjaan pelancong.
“Kerjasama strategik dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia turut membolehkan promosi pas Rapid Kembara diperluas menerusi platform dan rangkaian pelancongan sedia ada.
“Ia sekali gus meningkatkan kesedaran pelancong terhadap kemudahan pengangkutan awam sebagai salah satu pilihan utama mobiliti untuk meneroka Lembah Klang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kolaborasi Strategik Rapid Kembara X Tahun Melawat Malaysia di sini hari ini.
Jelas Prodyut, inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen Rapid KL untuk memperluas peranan pengangkutan awam dalam menyokong industri pelancongan, selain menawarkan pengalaman perjalanan lebih mudah dan menyeluruh kepada pengunjung.
“Pas tujuh hari serta pelbagai tawaran daripada rakan strategik memberikan nilai tambah kepada perjalanan mereka, selain memudahkan akses ke destinasi dan tarikan tempatan.
“Kami juga berharap inisiatif ini dapat menggalakkan lebih ramai pelancong menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian, sekali gus menyokong usaha menjadikan Malaysia destinasi pelancongan mudah diakses, saling berhubung dan lestari,” katanya.
Untuk maklumat, Pas Rapid Kembara tujuh hari menawarkan perjalanan tanpa had menggunakan rangkaian rel dan bas Rapid KL pada harga RM110 bermula 1 November lalu.
Selain kaunter, pas itu juga boleh dibeli melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet mulai 2 November lalu.
Bagi menggalakkan penerokaan destinasi menggunakan pengangkutan awam, Rapid
KL turut menganjurkan Kempen Kembara Rapid Stamp Rally dari 18 November hingga 17 Mei 2027 yang menawarkan pasport Kembara Rapid kepada 10,000 pembeli pas terawal di kaunter khidmat pelanggan Rapid KL. – KOSMO! ONLINE
The post Pas Rapid Kembara 7 hari diperkenal, tawar diskaun hingga 50 peratus appeared first on Kosmo Online.





