Petronas sasar percepat pengeluaran minyak, gas kepada 50 bulan

LocalTechnology
17 Nov 2026 • 3:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Petronas sasar percepat pengeluaran minyak, gas kepada 50 bulan

KUALA LUMPUR: Petronas menyasarkan untuk mengurangkan tempoh daripada penemuan sumber kepada pengeluaran pertama minyak dan gas kepada 50 bulan berbanding kebiasaan 100 bulan, menerusi penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan analisis serta keputusan penerokaan.

Bagi menyokong sasaran itu, syarikat minyak dan gas negara berkenaan merancang meningkatkan kapasiti sistem pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) kepada 50 petaflops dalam beberapa tahun akan datang, lebih dua kali ganda keupayaan semasa.

Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Bacho Pilong berkata, peningkatan kapasiti pengkomputeran itu akan memperkukuh analisis data geosains, sekali gus mempercepatkan proses mengenal pasti potensi sumber petroleum.

Katanya, keupayaan tersebut berpotensi memendekkan proses analisis geosains yang sebelum ini mengambil masa berbulan-bulan kepada beberapa hari atau mungkin beberapa jam.

“Keupayaan ini akan menjadi asas kepada pembangunan pelbagai model AI dan sistem pintar yang dapat meningkatkan kecekapan analisis serta membantu menghasilkan keputusan lebih baik dalam aktiviti penerokaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan dan Pameran Geosains Petroleum Asia (APGCE) 2026 di sini, semalam.

Petronas turut membangunkan Malaysia Earth Foundation Model (MyEFM), model berasaskan AI yang direka untuk meningkatkan pemahaman terhadap lembangan petroleum negara menerusi analisis data bawah permukaan.

Inisiatif itu turut merangkumi pembangunan teknologi ‘subsurface digital twin’ bagi membentuk model digital struktur bawah permukaan yang boleh dikemas kini berdasarkan data baharu, selain Seismic Foundation Model (SFM) untuk mengenal pasti struktur dan ciri geofizik secara automatik.

Dalam pada itu, Petronas memerlukan pelaburan tahunan antara RM50 bilion hingga RM60 bilion dalam sektor huluan bagi mengekalkan sasaran pengeluaran domestik sekitar dua juta tong setara minyak sehari.

Bacho berkata, pelaburan berterusan itu penting untuk mempercepatkan pembangunan sumber, meningkatkan aktiviti penerokaan dan memastikan kelangsungan bekalan tenaga negara.

“Pada masa sama, usaha pendigitalan data geologi diperkukuh bagi meningkatkan kecekapan penerokaan, khususnya ketika industri berdepan penyusutan sumber di lembangan matang serta penemuan baharu yang semakin kompleks,” katanya.

Setakat Ogos lalu, sebanyak 130,000 sampel keratan gerudi daripada lebih 400 telaga sudah didigitalkan, manakala lebih 30 kilometer sampel teras turut melalui proses pendigitalan menggunakan teknologi pengimejan.

Petronas turut menyasarkan liputan data sebanyak 50 peratus di kawasan lembangan frontier menjelang 2030, dengan pemerolehan kira-kira 20,000 kilometer persegi data seismik tiga dimensi (3D) sudah dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Usaha itu penting bagi memperkukuh pemahaman terhadap kawasan penerokaan yang masih belum diterokai sepenuhnya, sekali gus membantu syarikat mengenal pasti potensi sumber baharu dengan lebih tepat. – UTUSAN

The post Petronas sasar percepat pengeluaran minyak, gas kepada 50 bulan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved