Gel Brazil belum mampu tangani kebakaran Indonesia

Environment
18 Oct 2026 • 12:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gel Brazil belum mampu tangani kebakaran Indonesia

JAKARTA: Selepas mencuba bahan pemadam api berasas tepung ubi kayu dan penggunaan ais kering, Indonesia kini mengambil inisiatif menguji gel dari Brazil untuk membendung kebakaran tanah gambut yang terus melanda negara itu.

Bagaimanapun, keberkesanan gel dikenali sebagai Realiza Antichamas itu masih belum dapat dipastikan, terutama dalam memadamkan kebakaran di bawah permukaan tanah.

Pengeluarnya, Grupo Realiza, mendakwa produk yang membentuk bahan seperti gel selepas dicampurkan dengan air itu mampu meningkatkan keberkesanan sehingga 10 kali ganda dalam memadamkan kebakaran.

Namun, ujian setakat ini belum membuktikan keupayaan gel itu memadamkan kebakaran di bawah permukaan tanah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesesuaiannya untuk menangani kebakaran gambut yang sukar dikawal.

Dalam demonstrasi di pinggir Palembang pada 15 Oktober lalu, kawasan tanah yang dirawat menggunakan gel itu tidak terbakar apabila api menghampirinya, namun ujian itu gagal menentukan sama ada ia mampu mencapai dan memadamkan kebakaran di lapisan tanah lebih dalam.

Seorang pegawai kanan bomba di Sumatera Selatan berkata, tanpa muncung khas yang boleh dimasukkan ke dalam tanah, gel itu hanya meliputi lapisan permukaan, sedangkan kebakaran gambut boleh berterusan di bawah tanah apabila bekalan oksigen masih ada.

“Jika oksigen masih terperangkap di bawahnya, kebakaran akan terus berlaku. Gel itu hanya membendung kebakaran,” katanya kepada The Straits Times.

Ujian terdalam setakat ini melibatkan kebakaran pada kedalaman dua meter yang dirawat dengan menyuntuk gel menerusi paip berlubang sepanjang kira-kira 1.5 meter.

Penggunaan gel itu turut berdepan masalah teknikal apabila campuran berkenaan menjadi pekat sehingga tangki, hos dan muncung perlu dibilas dengan air bersih selepas setiap operasi bagi mengelakkan penyumbatan. 

Pegawai kanan bomba itu berkata, campuran berkenaan juga didapati tidak lagi boleh digunakan selepas 24 jam, berbanding tempoh 48 jam seperti didakwa pembekal.

Indonesia berdepan musim kebakaran serius apabila kawasan seluas 202,004 hektar terbakar dari Januari hingga Julai, meningkat 69 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Asap tebal mengurangkan jarak penglihatan dan menyukarkan operasi pengeboman air menggunakan helikopter, selain menyebabkan jerebu merebak ke negara jiran Singapura, Malaysia, Filipina dan Timur-Leste.

The post Gel Brazil belum mampu tangani kebakaran Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved