
JAKARTA: Ketika kebakaran hutan dan tanah terus melanda Indonesia sehingga mengeluarkan asap toksik yang mencetuskan kemarahan negara jiran, kerajaan negara itu menguji kaedah baharu yang luar biasa untuk menangani jerebu menggunakan ais kering.
Selepas mencuba pembenihan awan, operasi pengeboman air dan mengerahkan anggota tentera untuk memadamkan kebakaran, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Dudung Abdurachman berkata, ais kering akan ditaburkan di wilayah Sumatera Selatan pada Khamis.
“Ujian penyebaran ais kering ini dilaksanakan atas arahan langsung Presiden bagi membantu menangani jerebu di Sumatera Selatan.
“Kami akan menilai hasilnya terlebih dahulu dan jika berkesan, kaedah ini berkemungkinan digunakan di wilayah lain,” katanya dipetik agensi berita negara, Antara.
Sebuah pesawat Cessna dilaporkan akan menyebarkan 1.5 tan ais kering di sekitar bandar Palembang, Sumatera Selatan. Kerajaan berharap langkah itu dapat mengurangkan asap, sekali gus meningkatkan kualiti udara dan jarak penglihatan.
Menurut Bloomberg, teknik berkenaan mula digunakan pada 1940-an untuk menggalakkan pembentukan ais dalam awan.
Bagaimanapun, pakar berpendapat penggunaan ais kering, iaitu karbon dioksida dalam bentuk pepejal, mungkin hanya memberikan kelegaan terhad dan bersifat setempat.
“Ia berpotensi memberikan kelegaan di kawasan tertentu, tetapi mungkin hanya untuk sementara waktu,” kata Pakar Kumpulan Penyelidikan Kebakaran Hutan Universiti New South Wales (UNSW), Prof. Rick McRae.
Beliau berkata, sistem cuaca bergerak dari timur ke barat, menyebabkan asap terus dibawa masuk ke kawasan yang sudah dibersihkan daripada jerebu.
“Jadi, asap akan terus datang. Ini bukan perkara mudah dan kaedah ini sama sekali tidak akan menjadi penyelesaian kekal,” katanya.
Di wilayah Kalimantan Tengah pada Rabu, Indeks Pencemaran Udara (ISPU) melebihi 1,200, iaitu empat kali ganda paras 300 yang dikategorikan sebagai berbahaya, menurut data Kementerian Alam Sekitar Indonesia.
Rakaman berita tempatan menunjukkan jerebu tebal menyelubungi bandar Palangka Raya sehingga mengehadkan jarak penglihatan pemandu kenderaan.
Sejak Januari lalu, hampir 900,000 hektar kawasan di seluruh Indonesia musnah dalam musim kebakaran terburuk sepanjang tempoh lebih sedekad.
Keadaan itu diburukkan lagi oleh fenomena ‘El Nino Godzilla’ yang melanda tahun ini, selain amalan pembakaran hutan untuk membuka tanah bagi tanaman seperti kelapa sawit yang masih berterusan.
Selama berbulan-bulan, jutaan penduduk Indonesia terdedah kepada asap tebal dan jerebu berwarna jingga kemerahan, manakala kritikan terhadap tindakan kerajaan semakin meningkat.
Minggu lalu, satu saman tindakan kelas difailkan, mendakwa kerajaan melakukan kecuaian serius dalam menangani krisis berkenaan. Puluhan ribu penduduk turut mendapatkan rawatan bagi penyakit pernafasan yang dikaitkan dengan jerebu.
Kualiti udara di negara jiran juga merosot dengan ketara, menyebabkan sekolah ditutup, penerbangan terganggu dan kes penyakit pernafasan meningkat.
Jerebu itu merebak ke Singapura, Malaysia dan sejauh Filipina. Timor-Leste pula mengumumkan penutupan semua sekolah di seluruh negara selama tiga hari bermula Khamis, selain menggesa keluarga supaya memastikan kanak-kanak berada di dalam rumah atau menggunakan perlindungan pernafasan jika perlu keluar.
Singapura mula menawarkan subsidi bagi rawatan perubatan berkaitan jerebu pada Isnin, langkah yang kali terakhir dilaksanakan pada 2015 ketika kebakaran serupa berlaku. Negara kota itu juga mula mengagihkan topeng muka N95 kepada penduduk yang layak.
Dalam tempoh seminggu lalu, hab kewangan Singapura disenaraikan antara bandar paling tercemar di dunia. Kuala Lumpur, yang turut terjejas teruk, berada di tempat kedua.-AGENSI
The post Indonesia uji teknik ais kering tangani jerebu tebal appeared first on Utusan Malaysia.





