
LAHAD DATU: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertahankan kemasukan beberapa pemimpin daripada parti lawan ke dalam Warisan, menegaskan ia bukan tindakan lompat parti, sebaliknya satu “gelombang penyatuan rakyat Sabah”.
Beliau berkata tuduhan bahawa Warisan menggalakkan budaya lompat parti adalah tidak berasas kerana kemasukan ahli politik berkenaan berlaku selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), ketika tiada kerajaan yang berfungsi.
Katanya, keadaan itu berbeza sama sekali dengan tindakan sesetengah ahli politik yang berpindah parti ketika kerajaan masih berfungsi, semata-mata untuk mendapatkan kedudukan atau ganjaran tertentu.
“Ini bukan lompat parti, ini gelombang penyatuan rakyat Sabah. Kita sudah bubar dewan, tiada kerajaan.
“Apa yang kami lakukan ialah menyatukan rakyat Sabah, bukan kerana janji jawatan atau projek,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Inspirasi DSSA bersama Rakyat Tungku di dataran terbuka Felda Cenderawasih.
Turut hadir, Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking dan Naib Presiden Datuk Jaujan Sambakong.
Di TAWAU, Shafie berkata Warisan akan mengumumkan senarai penuh 73 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah 29 November nanti sebaik tarikh dimuktamadkan.
Beliau berkata calon-calon berkenaan, termasuk beberapa muka baharu, telah dikenal pasti tetapi pengumuman rasmi hanya akan dibuat setelah tarikh itu disahkan.
Shafie turut menolak laporan sebuah portal berita yang mendakwa penduduk Tawau bimbang terhadap isu “Sempornanisasi” dalam pelantikan kerajaan, jawatan politik dan perwakilan Kabinet sekiranya Warisan menang, sambil menegaskan bahawa “semuanya orang Sabah”.
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai usaha untuk memecahbelahkan masyarakat melalui sentimen wilayah sempit, sambil menegaskan semua calon Warisan, tanpa mengira kawasan, adalah rakyat Sabah.
“Kadang-kadang bapanya berasal dari Semenanjung dan ibu orang Sabah — individu itu tetap boleh bertanding. Dulu, YB Datuk Christina Liew pernah bertanding sebagai Ahli Parlimen Tawau dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Api-Api di Kota Kinabalu. Beliau boleh bertanding di kedua-dua kawasan, di KK dan di Tawau,” katanya.
Shafie turut menegaskan bahawa rakyat Sabah, bukan Kerajaan Persekutuan, yang akan menentukan siapa bakal menjadi Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri nanti..
“Sebab yang mengundi adalah rakyat Sabah. Tiada ahli Umno dari Semenanjung boleh mengundi di sini. Mereka boleh berkempen atau meraih undi, itu tidak mengapa.
“Tetapi keputusan siapa jadi kerajaan dan siapa jadi pimpinan terletak di tangan 1.7 juta pengundi Sabah,” katanya.
“Kita mahu memastikan hasrat dan cita-cita seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sahaja didengar, tetapi dituntut dan ditunaikan sebaik mungkin,” katanya.
