Terima pemimpin lompart parti: Warisan ‘hipokrit’ –  Armizan

LocalPolitics
3 Nov 2025 • 4:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PAPAR: Parti Warisan Sabah (Warisan) bersikap hipokrit kerana sering menuduh gabungan itu adalah ‘sarang pemimpin lompat parti’ namun menormalisasikan tindakan itu apabila memberi manfaat kepada mereka.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia dapat dilihat daripada kemasukan beberapa pemimpin parti lain dalam Warisan kebelakangan ini.

Katanya, Warisan menganggap tindakan itu wajar kerana memberi manfaat kepada mereka namun beranggapan ia salah jika berlaku kepada parti lain hingga melemparkan tuduhan negatif khususnya terhadap GRS.

“Parti-parti lain termasuk Warisan membuat naratif dan tuduhan bahawa GRS adalah ‘parti lompat’ atau ‘sarang’ kepada pemimpin-pemimpin yang ‘melompat parti’ namun pada masa sama melakukan perkara serupa.

“Malah, (pemimpin parti lain yang menyertai Warisan) diberikan sambutan ‘permaidani merah’..siap ada sidang media lagi untuk meraikan kemasukan mereka. Jelas ‘cakap tidak serupa bikin’.

“Bagi Warisan, kalau perkara itu tidak mendatangkan manfaat, harus ditentang ‘orang melompat’, tapi menerima mereka masuk apabila memberi keuntungan’,” katanya ketika ditanya mengenai segelintir pemimpin akar umbi GRS yang menyertai Warisan, baru-baru iniArmizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata tindakan Warisan itu bukan perkara baru kerana parti berkenaan sebenarnya ‘sarang lompat’ kerana telah menormalisasikan tindakan itu sebelum ini pada 2018.

Menurutnya, terbentuknya kerajaan negeri di bawah pentadbiran Warisan selepas pilihan raya umum (PRU14) lalu adalah hasil daripada tindakan ‘lompat parti’ oleh pemimpin parti lain.

“Pada 2018 (selepas PRU14), kerajaan negeri telah terbentuk yang bukan hanya Ketua Menteri telah mengangkat sumpah tetapi juga kabinet Menteri pun sudah wujud pada masa itu.

“Namun, tiba-tiba ada pula kerajaan baharu (Warisan/Upko/PH)..ada pula orang lain angkat sumpah. Jelas menunjukkan Warisan telah menormalisasikan perkara ini (lompat parti’) dalam insiden yang jauh lebih besar,” katanya.

Ketika ditanya sama ada alasan tidak terpilih sebagai calon menyebabkan segelintir pemimpin GRS ‘melompat’ ke Warisan, Armizan enggan membuat spekulasi namun berbesar hati kerana Warisan telah memudahkan kerja pembersihan dalam GRS.

Bagaimanapun katanya, beliau pelik kerana jika penyertaan pemimpin terlibat atas dasar percaya dengan perjuangan Warisan tetapi mengapa tindakan itu diambil kenapa diambang PRN17.

“Kalau percaya Warisan, kenapa tidak buat lebih awal berbanding dekat pilihan raya baru mahu percaya kepada perjuangan Warisan. Jadi saya fikir jawapannya boleh kita fikirkan sendiri,” tegasnya.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Bahagian PGRS Pitas Datuk Harun Ismail, Ketua Penerangan PGRS Pantai Manis Amri Abu Bakar serta Ketua Bahagian LDP Tanjung Kapor Datuk Peter Chin Kee Yong menyertai Warisan.

Antara alasan penyertaan mereka ke Warisan kerana percaya parti itu mempunyai hala tuju yang lebih jelas memandangkan situasi semasa politik Sabah yang kini semakin berpecah.

Dalam pada itu, Armizan berkata, situasi itu adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik namun paling utama adalah keikhlasan dalam perjuangan tanpa melibatkan kepentingan peribadi.

Katanya, siapa saja yang dipilih pucuk pimpinan sebagai calon harus disokong dan didokong sekiranya Ikhlas terhadap perjuangan parti untuk membela kepentingan rakyat Sabah.

“Masing-masing ada peranannya, jangan kerana kepentingan diri kita untuk menjadi calon, kita menghancurkan perjuangan yang telah kita bina bersama-sama kerana setiap tindakan kita menunjukkan siapa jati diri kita yang sebenarnya,” tegasnya.