
KAHERAH: Serangan dron mencetuskan kebakaran di sebuah kemudahan elektrik di bandar Zawiya, barat Libya pada Rabu. Ia menyebabkan pencawang berkenaan musnah sepenuhnya dan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan selatan bandar itu.
Syarikat Elektrik Am Libya dalam satu kenyataan berkata, pencawang berkenaan berfungsi menghubungkan loji janakuasa dengan rumah dan premis perniagaan.
Rakaman yang dikongsikan syarikat itu menunjukkan api marak dan letupan bola api besar berlaku di kemudahan berkenaan.
Zawiya, yang terletak kira-kira 47 kilometer di barat Tripoli dan mempunyai penduduk sekitar 250,000 orang, menjadi sasaran beberapa serangan dron kebelakangan ini yang menyasarkan infrastruktur minyak dan tenaga.
Bandar itu menempatkan beberapa kemudahan tenaga penting, termasuk kilang penapisan minyak terbesar Libya, terminal eksport dan sebuah loji janakuasa.
Tiada kumpulan setakat ini mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Perdana Menteri Libya bagi kerajaan yang berpusat di barat, Abdul-Hamid Dbeibah mengecam serangan terhadap kemudahan tenaga dan elektrik sebagai jenayah serius serta satu bentuk peningkatan ketegangan yang tidak akan dibiarkan tanpa tindakan.
Pada Isnin, serangan dron turut mengenai sebuah tangki yang sarat dengan bahan api di kilang penapisan Zawiya, mencetuskan kebakaran besar yang mengambil masa lebih 15 jam untuk dipadamkan.
Menurut Perbadanan Minyak Negara Libya, kilang penapisan itu turut diserang beberapa kali pada Selasa dan sepanjang hujung minggu.
Loji jana kuasa Zawiya pula diserang dua dron pada Selasa. Satu daripadanya merosakkan sistem pemadam kebakaran, manakala satu lagi jatuh berhampiran kemudahan penyimpanan bahan api utama lalu mencetuskan kebakaran.
Syarikat elektrik itu berkata, syarikat Amerika Syarikat (AS), General Electric (GE) mengeluarkan pasukan kerjanya dari loji itu sehingga keadaan keselamatan dan persekitaran kerja yang sesuai serta selamat dapat dipastikan.
GE sebelum ini turut menarik keluar kakitangannya atas faktor keselamatan, menyebabkan lebih 700 megawatt daripada kapasiti penjanaan loji Zawiya tidak dapat beroperasi. Loji itu mempunyai kapasiti keseluruhan kira-kira 1,300 megawatt.
Serangan berkenaan berlaku ketika ketegangan meningkat antara kerajaan Libya di barat dan Mohamed Bahroun, seorang panglima militia yang menguasai Zawiya.
Sebahagian besar wilayah barat Libya dikuasai kumpulan militia tempatan yang mempunyai hubungan longgar dengan kerajaan Dbeibah di Tripoli.
Libya berpecah selama bertahun-tahun antara dua pentadbiran yang bersaing dan masing-masing mendapat sokongan kumpulan bersenjata serta kuasa asing. Dbeibah mengetuai pentadbiran di barat, manakala Perdana Menteri, Ossama Hammad mengetuai pentadbiran di timur.
Keganasan itu berlaku ketika Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berada di Tripoli untuk bertemu Dbeibah dan pengerusi Majlis Presiden, Mohammad Younes Menfi.
Turkiye merupakan penyokong utama kerajaan Dbeibah.Namun, Ankara sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut berusaha menjalin hubungan dengan pihak berkuasa pesaing di timur sebagai sebahagian usaha serantau untuk menyatukan Libya.
Libya, sebuah negara kaya minyak di pesisir Mediterranean, dilanda konflik sejak pemberontakan yang disokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara bertukar menjadi perang saudara pada 2011 dan menggulingkan serta membunuh pemerintah lama, Muammar Qaddafi. – AGENSI
The post Gelombang serangan dron gugat infrastruktur Libya appeared first on Utusan Malaysia.




