
KYIV: Tentera Russia didakwa menggunakan peluru berpandu balistik yang dibekalkan Korea Utara dalam serangan ke atas bandar Zaporizhzhia di tenggara Ukraine.
Syarikat keluli Metinvest berkata, tujuh pekerja awam di kilangnya terbunuh manakala 21 lagi cedera dalam serangan berkenaan.
Tiga lagi orang awam, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun, terbunuh akibat serangan dron dan artileri Russia di wilayah Dnipropetrovsk, menurut pihak berkuasa.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, Russia menggunakan peluru berpandu, dron dan bom gelongsor untuk menyerang bandar-bandar Ukraine sejak Selasa.
Satu serangan mengenai kawasan sebuah hospital kanak-kanak, menyebabkan dua kawah terbentuk, namun tiada mangsa dilaporkan cedera, menurut Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine.
Zelensky berkata, Russia cuba mengambil kesempatan daripada kekurangan kritikal peluru pemintas sistem pertahanan udara Patriot milik Ukraine yang mampu memintas peluru berpandu balistik.
Beliau turut mendakwa Moscow sedang bersiap untuk merekrut lebih ramai anggota tentera bagi melancarkan serangan baharu di barisan hadapan.
“Setiap langkah yang diambil Russia termasuk meningkatkan pengeluaran peluru berpandu balistik, membawa masuk peralatan Korea Utara dan membuat persiapan untuk mobilisasi , semuanya menunjukkan Moscow bersiap bukan untuk keamanan, tetapi untuk meningkatkan ketegangan,” katanya dalam satu hantaran.
Beliau turut memberi amaran Korea Utara sedang bersiap sedia untuk menghantar sehingga 50,000 lagi anggota tentera ke Russia.
Zelensky berkata, risikan Ukraine menunjukkan Russia mungkin menggunakan ‘pilihan raya palsu’ pada September sebagai alasan untuk mengumumkan kerahan tentera baharu.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan mewujudkan gambaran kononnya rakyat Russia menyokong perang.-AGENSI
The post Russia guna peluru berpandu Korea Utara bedil Zaporizhzhia appeared first on Utusan Malaysia.




