Gempa bumi 5.5 magnitud gegar kawasan berhampiran Suez, Mesir

WorldEnvironment
3 Aug 2026 • 11:06 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gempa bumi 5.5 magnitud gegar kawasan berhampiran Suez, Mesir

KAHERAH: Gempa bumi bermagnitud 5.5 menggegarkan timur Mesir awal pagi Isnin, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan, namun tiada permintaan bantuan kecemasan diterima setakat ini.

Gegaran itu dirasai di kawasan yang luas, mengejutkan wartawan AFP di seluruh Kaherah dan turut dirasai sehingga ke El-Arish berhampiran sempadan Mesir dengan Gaza.

Gempa itu berlaku kira-kira 40 kilometer di utara bandar Suez pada pukul 3 pagi (waktu tempatan), menurut Institut Penyelidikan Astronomi dan Geofizik Kebangsaan Mesir, yang menyemak semula anggaran awal magnitud 5.2 kepada 5.5.

Sementara itu, Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan gempa cetek itu pada magnitud 5.0 selepas turut menyemak bacaan awal.

Menteri Kesihatan Mesir, Khaled Abdel Ghaffar mengarahkan pelan tindak balas kecemasan diaktifkan di seluruh negara dan mengarahkan perkhidmatan ambulans berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum.

Tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan, menurut Kementerian Kesihatan dan Bulan Sabit Merah Mesir.

Bulan Sabit Merah Mesir turut menggesa penduduk supaya menjauhi bangunan lama dan uzur yang banyak terdapat di beberapa kawasan kejiranan kelas pekerja di Kaherah.

Gempa bumi kuat jarang berlaku di negara Afrika Timur Laut itu.

Gempa bumi paling dahsyat dalam sejarah moden Mesir berlaku pada Oktober 1992 apabila gegaran bermagnitud 5.8 melanda ibu negara, mengorbankan lebih 500 orang serta menyebabkan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.-AFP

The post Gempa bumi 5.5 magnitud gegar kawasan berhampiran Suez, Mesir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved