
KAHERAH – Gempa bumi sederhana berukuran 5.5 magnitud menggegarkan timur Mesir hari ini, mendorong pihak berkuasa mengaktifkan pelan tindakan bencana, walaupun tiada permintaan segera untuk bantuan kecemasan.
Gegaran dirasai di kawasan yang luas, mengejutkan wartawan AFP di Kaherah dan menjangkau sejauh El-Arish berhampiran sempadan Mesir dengan Semenanjung Gaza.
Gempa itu melanda kira-kira 40 kilometer ke utara bandar Suez pukul 3 pagi (waktu tempatan), demikian menurut Institut Penyelidikan Kebangsaan Astronomi dan Geofizik Mesir.
Menteri Kesihatan Khaled Abdel Ghaffar mengarahkan pelan tindak balas kecemasan diaktifkan di seluruh Mesir dan mengarahkan perkhidmatan ambulans berada pada ‘tahap kesiapsiagaan maksimum’.
Tiada laporan segera mengenai kematian atau kerosakan, demikian menurut kementerian kesihatan dan Bulan Sabit Merah Mesir.
Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir menggesa penduduk supaya menjauhi bangunan lama dan usang yang banyak terdapat di sesetengah kawasan kejiranan pekerja di Kaherah.
Gempa bumi kuat jarang berlaku di negara rantau Afrika itu.
Gempa bumi paling berdarah di Mesir berlaku pada Oktober 1992. Gegaran bermagnitud 5.8 yang melanda Kaherah mengorbankan lebih 500 orang dan menyebabkan ribuan lagi hilang tempat tinggal. – AFP
The post Gempa bumi 5.5 gegar Mesir appeared first on Kosmo Digital.




