
BOGOTA: Seminggu selepas gempa bumi kuat melanda barat Colombia, operasi bantuan terus diperluaskan ketika harapan untuk menemukan mangsa yang masih hidup semakin pudar.
Gempa bumi berukuran 7.4 skala Richter melanda San Jose del Palmar pada 10 Ogos lalu, mengakibatkan kemusnahan besar dari pelabuhan Buenaventura di pesisir Pasifik hingga ke wilayah pengeluar kopi serta bandar utama termasuk Cali dan Pereira.
Anggaran rasmi semalam merekodkan kira-kira 290 kematian, manakala lebih 140 orang masih hilang dan 4,200 lagi cedera.
Lebih dua pertiga daripada jumlah korban dilaporkan di Cali dan Pereira, dengan blok pangsapuri, rumah, gereja, sekolah serta hospital mengalami kerosakan atau musnah.
Di Cali, bandar ketiga terbesar Colombia, petugas kecemasan masih menyelongkar timbunan konkrit tidak stabil dan besi yang bersimpang-siur bagi mencari mangsa.
Bagaimanapun, operasi menyelamat kini semakin beralih kepada usaha mencari dan mengeluarkan mayat.
“Malangnya, tiada tanda-tanda kehidupan. Keajaiban boleh berlaku, tetapi secara jujurnya dan berdasarkan apa yang kami lihat, tiada petunjuk masih ada mangsa yang hidup,” kata Kapten Jabatan Bomba Cali, Alberto Hernandez.
Gegaran susulan turut meningkatkan risiko kepada pasukan penyelamat yang bekerja di kawasan kejiranan terjejas serta penduduk yang masih belum dapat pulang ke rumah.
“Kerja-kerja perlu dilakukan dengan sangat berhati-hati dan teratur… supaya kami tidak membahayakan pasukan penyelamat atau penduduk yang membantu di lokasi kejadian,” kata Hernandez.
Di Bogota, sebuah stadium dijadikan pusat pengumpulan sumbangan terbesar negara itu, manakala di Pereira, pihak berkuasa merawat haiwan peliharaan yang cedera dan mengagihkan makanan haiwan yang disumbangkan.
Gempa bumi itu merupakan krisis besar pertama yang dihadapi Presiden Abelardo De La Espriella, yang baru memegang jawatan beberapa hari sebelum bencana berkenaan dan kini perlu menyelia usaha bantuan serta pembinaan semula.
De La Espriella pada Ahad berkata, bilionair dan tokoh perbankan Colombia, Jaime Gilinski, yang turut mengawal syarikat makanan Nutresa, akan menyumbangkan 150 bilion peso Colombia (RM194 juta) bagi membina semula hospital dan sekolah di Cali, kampung halamannya.
Keluarga Santo Domingo, yang menguasai empayar media besar di negara itu, sebelum ini turut menjanjikan sumbangan sebanyak AS$32 juta (RM130 juta) pada Jumaat.- AGENSI
The post Gempa Colombia: Harapan jumpa mangsa hidup makin pudar appeared first on Utusan Malaysia.



